Malaysia Dateline

Kuarantin Covid-19 pun langgar, bagaimana Pas mahu laksana hudud?

Sikap menteri Pas, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali mengingkari Prosedur Operasi Standard (SOP) kuarantin wajib bagi mengekang penularan Covid-19 menimbulkan persoalan sejauhmana parti kerajaan itu akan adil dalam melaksanakan undang-undang hudud.

Ahli Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional, Raja Kamarul Bahrin Shah berpendapat Pas yang kononnya ingin menasihati Umno ke arah nilai perundangan suci Islam sedang mabuk kuasa mengamalkan nilai perundangan antara dua darjat.

“Satu undang-undang untuk rakyat biasa seperti Mak Cik Kiah, dan satu lagi untuk Menteri Menteri dan mereka yang berkuasa.

“Kalau undang-undang yang senang difaham dan dilaksanakan seperti hukuman kesalahan kuarantin Covid-19 tidak dapat dilaksanakan dengan adil dan saksama, bagaimana pula Pas akan menangani hukum hudud yang mereka uar-uarkan sebelum ini?

“Hukum hudud jauh lagi rumit,” katanya dalam satu kenyataan mengulas kompaun hanya RM1,000 kepada Khairuddin yang juga Ahli Jawatankuasa Pusat Pas meskipun melanggar Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342).

Menurut peruntukan tersebut, semua individu yang baru tiba dari luar negara sama ada warga negara atau warga asing perlu menjalani kuarantin wajib selama 14 hari sebagai langkah mengekang penularan virus Covid-19.

Mengulas lanjut, Raja Kamarul menyifatkan kadar hukuman terhadap Ahli Parlimen Kuala Nerus tersebut tidak adil berbanding beberapa kes sama melibatkan rakyat biasa.

“Kalau rakyat biasa yang melanggar kuarantin kerana ke kedai di hukum denda beberapa ribu ringgit dan boleh dipenjarakan, adilkah jika ahli Parlimen penggubal undang-undang negara melanggar kuarantin dan memasuki Istana Agong serta Parlimen dan majlis rasmi lain didenda RM1,000 sahaja?

“Kerajaan Melayu-Islam hari ini hanya berselindung di sebalik imej nilai dan undang-undang Islam untuk mengelirukan rakyat,” tegasnya yang juga Pengerusi AMANAH Negeri Terengganu itu lagi.

Kecaman dan sindiran terhadap Khairuddin membanjiri media sosial sejurus diketahui tidak menjalani kuarantin 14 pulang dari lawatan tidak rasmi ke Turki pada 3 hingga 7 Julai lalu.