Malaysia Dateline

Kuarantin: Kerajaan PN amal pilih kasih

Tindakan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang memberi keistimewaan kepada pemimpin mereka untuk menjalani hanya tiga hari kuarantin selepas balik dari luar negara adalah bersifat pilih kasih.

Pembantu Khas Pengerusi Parti Tindakan Rakyat (DAP) Sarawak Chong Chieng Jen, Michael Kong Feng Nian berkata, rata-rata rakyat di negara ini tidak senang dengan amalan pilih kasih oleh kerajaan dalam menangani penularan pandemik Covid-19 ketika ini.

Katanya, pemimpin Kerajaan PN termasuk di Sarawak di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) seharusnya menunjukkan contoh terbaik kepada rakyat dengan bersama-sama mengikuti operasi standard prosedur (SOP) apabila menjalani kuarantin selama 10 hari.

“Saya amat kecewa apabila kerajaan hanya menguatkuasakan kuarantin tiga hari sahaja berbanding dengan rakyat biasa selama 10 hari sebaik balik dari luar negara.

“Kelonggaran ini nampak memberi peluang kepada pemimpin pihak kerajaan lain serta mengikut cita rasa mereka sendiri.

“Tetapi hakikatnya jumlah kuarantin tempoh tiga hari adalah singkat memandangkan inkubasi wabak yang boleh aktif ialah selama lima hingga 14 hari sekali gus mampu menular kepada orang lain di sekelilingnya,” ujar beliau ketika ditemui di Kuching hari ini.

Beliau yang juga merupakan pengamal undang-undang menjelaskan, tindakan kerajaan menaikkan denda bukanlah satu penyelesaian terbaik, tetapi sebaliknya penguatkuasaan mesti lebih diperketatkan lagi.

“Kebanyakkan rakyat adalah golongan B40 dengan paras gaji yang diperolehi hanya RM1,200 sebulan.

Dengan itu, denda RM1,000 sekarang adalah gaji sebulan mereka. Bahkan bagi mereka yang berpendapatan kira-kira RM2,000 sebulan, jika didenda itu adalah gaji setengah bulan.

“Justeru, tindakan menaikkan denda adalah bukan satu penyelesaian yang baik dan tepat.

“Dengan kata lain, kerajaan harus melaksanakan penguatkuasaan yang lebih lagi ketat serta para pemimpin khususnya menteri di kalangan PN dan GPS sendiri harus memberi contoh terbaik dalam melaksanakan perintah kuarantin nanti,” tambah Michael lagi.