Malaysia Dateline

Kuarantin wajib: Adham kata akan bincang, Sabri anggap berita palsu

Kenyataan dua menteri Umno berhubung pelaksanaan kuarantin wajib terhadap mereka yang pulang ke Semenanjung dari Sabah selepas urusan Pilihan Raya Negeri (PRN) dilihat saling bercanggah.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba semalam berkata, hal itu akan dibincangkan dalam Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) nanti.

Sebaliknya, Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Ahli Parlimen Bera, berkata langkah kuarantin wajib itu adalah berita palsu.

“Itu berita palsu. Tidak ada konon-kononnya saya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengatakan bahawa yang balik dari Sabah ke Semenanjung akan dikuarantin.

“Tidak betul dan pergerakan dari Sabah ke Semenanjung masih bebas seperti dahulu.

“Kalau ada pengumuman mengenai kawalan, saya yang akan buat. Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pun saya yang buat pengumuman,” katanya semalam.

Sebelum itu, Adham yang juga Ahli Parlimen Tenggara di Johor itu berkata, pihaknya akan membuat kajian risiko setiap hari berhubung langkah kuarantin wajib itu.

Jelasnya lagi, KKM turut mengadakan perbincangan dalam Mesyuarat Khas Menteri-Menteri mengenai Covid-19 juga bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN).