Malaysia Dateline

Zaid Ibrahim

Kuasa Agong boleh beritahu Mahiaddin jawatannya akan gugur 1 Julai ini

Bekas Menteri Undang-undang  berkata krisis yang ada sekarang boleh diselesaikan dengan mudah di mana Yang di-Pertuan Agong (YDPA) boleh memanggil Perdana Menteri menghadap dan memberitahu beliau jawatannya sebagai Perdana Menteri akan gugur pada 1 Julai 2021.

Dalam masa yang sama katanya, YDPA juga boleh menamakan penggantinya dengan serta merta, kata Datuk Zaid Ibrahim.

Beliau yang juga seorang peguam berkata, YDPA juga boleh mengarahkan Parlimen bersidang untuk memilih Perdana Menteri baharu, jika itulah yang difikirkan terbaik.

“Notis 28 hari untuk Parlimen bersidang tidak perlu diikuti kerana kita dalam darurat dan segala keputusan YDPA adalah sah semasa darurat, termasuk isu notis mesyuarat dan ianya tidak boleh dicabar,” kata beliau.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) itu juga berkata, kuasa YDPA semasa darurat sangat luas di mana baginda boleh memanggil Parlimen bersidang esok atau lusa bahkan boleh pecat Perdana Menteri dan baginda boleh pecat Speaker dan sebagainya.

Katanya, Prinsip Raja Berperlembagaan di mana YDPA mesti mengikut nasihat Perdana Menteri di bawah Artikel 40 Perlembagaan itu tidak boleh digunapakai semasa darurat kerana Seksyen 14 Ordinan Darurat memberi kuasa penuh kepada YDPA, dalam segala hal demi menyelesaikan masalah negara.

“Ordinan Darurat memberi kuasa kepada YDPA untuk melakukan apa saja walaupun bercanggah dengan prinsip dan undang-undang di bawah Perlembagaan Persekutuan selagi Parlimen tidak bersidang untuk mengubah ordinan tersebut.

“Perdana Menteri (dan penasihat beliau) mungkin merasakan, jika mereka memberi kuasa penuh kepada YDPA melalui Ordinan Darurat, mereka boleh mengambil kesempatan berselindung di belakang kuasa YDPA.

“Mereka akan berkata, “YDPA mesti ikut nasihat kami”, kerana itulah lazimnya prinsip Raja Berperlembagaan,” katanya melalui Facebook.

“Mereka tidak menyangka prinsip biasa tidak laku dalam masa darurat. YDPA dan Raja-Raja Melayu juga ada pendirian sendiri dan tidak mahu jadi pak turut,” katanya lagi.

Jelas Zaid, mereka salah perkiraan mengenai undang-undang darurat yang mereka sendiri gubal di mana Ordinan Darurat yang ada sekarang memberi kuasa penuh kepada YDPA.

“Jadi, isu baginda perlu mengambil nasihat Perdana Menteri sebelum mengambil apa-apa tindakan itu tidak timbul. Kecuali Parlimen bersidang dan mengubah Perkara 14 Ordinan Darurat sekarang.

“PM kita “wants the cake and eat it”, kata orang Inggeris. Beliau mahu darurat yang memberi kuasa mutlak kepada YDPA dengan harapan nasihat beliau sentiasa diikuti oleh baginda.

“Itulah sebab orang tua-tua bercerita, “pandai-pandai tupai melompat, jatuh juga ke tanah”,” ujarnya.