Malaysia Dateline

‘Kuasa dikuda kuda, jelata diperkuda’ – Lagu siap ajuk tapak kaki kuda ini wajib calon, pengundi PRU15 hayati

Kuasa jadi alat tunggangan manakala rakyat jelata diperkuda. Itu antara lirik padu lagu dendangan Kimalogy berjudul, Kuasawan Murbawan.

Siap dengan ajuk bunyi tapak kaki kuda berlari lagi, lagu ini menganggap kebalnya ahli politik dengan tindakan undang-undang apabila, “ditikam kanun tiada luka, malah ketawa hahaha”.

Istilah “kuasawan” merujuk pada ahli politik manakala “murbawan” iaitu rakyat jelata masing-masing kerap disebut sasterawan, A. Samad Said.

Malah, lagu yang dikesan paling awal dimuat naik di YouTube sejak tujuh tahun itu juga memetik puisi Pak Samad mengenai dua jenis kuasawan di negara ini.

Walaupun lagu tersebut sudah lama dan ‘tersorok’ dengan jumlah tontonan yang tidak pun melepasi ratusan ribu kali tetapi mesejnya tetap malar segar.

Kritikan sosial dalam lagu yang jarang atau mungkin tidak diputarkan di radio arus perdana di negara ini juga kena dengan mood menuju Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) ini.

Oleh itu, wajarlah calon bertanding dan 21,173,638 pengundi menghayati mesej dalam lagu ini sebelum memilih ‘wakil rakyat’ bagi mengisi kekosongan 222 kerusi Parlimen, serta 42 kerusi Dewan Negeri Pahang, 15 kerusi DUN Perlis, dan 59 kerusi Dewan Negeri Perak.

Berikut lirik penuh Kuasawan Murbawan:

Badang siasah maharaja,
bau wang sendawanya,
ditikam kanun tiada luka,
malah ketawa hahaha

siapa itu?
cuba teka, hahaha

“Ada dua jenis mereka ini:
Kalau kuasawan campur niagawan, dia jadi ahli perniagaan.
Tapi kalau kuasawan yang perjuangkan lapangan hidup bagi kebahagiaan murbawan (rakyat biasa), mereka itu kuasawan yang berjuang.” – A. Samad Said

duduk termenung,
mengira tangga,
tinggikah lagi,
untuk ke sorga dunia,

makan dah sudah,
disuap suap,
terlupa pohon janji,
tiada tersiram lagi

jangan lupa,
dilupa jangan

kuasa dikuda kuda
kedekuk kedekuk kedekuk kedekuk

jelata diperkuda
kedekuk kedekuk kedekuk kedekuk.

Baca juga ‘Duduk hotel ni, aku rasa diperhati’ – Bermacam ‘meme’ lucu ini buat orang ramai terhibur

Baca juga Gara-gara empat cincin ‘sangkut’ di jari, pesakit ini dibantu anggota bomba