Malaysia Dateline

KUASA gesa kerajaan tubuh Suruhanjaya Alam Sekitar Negara

Hafizudin Nasarudin dalam satu slot LASAK 3.0 di Kuala Kubu Bharu.

Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA) menggesa kerajaan mewujudkan Suruhanjaya Alam Sekitar Negara sebagai badan bebas bagi mengawal selia dan memantau pengurusan alam sekitar.

Presidennya, Hafizudin Nasarudin berkata, usul yang terkandung dalam resolusi Manifesto Hijau itu bagi memastikan proses pembangunan di negara ini dilaksanakan secara lestari.

Hafizudin Nasarudin

Menurutnya, suruhanjaya itu juga akan memastikan demokrasi alam sekitar dilaksanakan dengan menjamin masyarakat akar umbi terutama komuniti hutan seperti Orang Asli serta penduduk kampung tidak terjejas akibat pembangunan yang melampaui batas.

“Begitu juga hak warganagera Malaysia untuk mendapatkan alam sekitar yang sihat bagi menjamin kualiti hidup yang berpanjangan,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas Latihan Aktivis Alam Sekitar tahap akhir (LASAK 3.0) di Kuala Kubu Bharu, Selangor baru-baru ini, beliau berkata, peserta diberi pendedahan tentang kepincangan sistem politik, ekonomi dan dasar negara yang menyebabkan Malaysia mengalami banyak kehilangan hutan.

Turut didedahkan isu korupsi pejabat serta pembahagian konsesi balak sesama ahli politik yang mengundang kemusnahan biodiversiti di negara ini sejak 50 tahun lalu.

“Lalu daripada analisa ini, peserta merangka langkah penyelesaian yang dirasakan efektif terhadap bahagian mandatori (sistem, dasar, politik, undang-undang, ekonomi dam urus tadbir).

“Ini termasuklah bahagian voluntary (pemerkasaan, masyarakat sivil, komuniti akar umbi, golongan muda, pelajar universiti, ahli akademik, profesional, NGO dan gerakan sivil yang lain).

“Ini semua bakal diterjemahkan dengan menjalankan siri kempen, latihan, aktiviti dan advokasi jangka masa panjang selepas ini,” jelasnya.

LASAK3.0 menyaksikan slot bersama Profesor Pelawat Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS) UKM, Prof Dr Fadzilah Majid Cooke dengan tajuk, “Realiti Kelemahan Demokrasi Alam Sekitar dan Urus Tadbir Alam Sekitar Negara.

Peserta juga mengikuti slot, “Realiti Sistem Pembangunan, Dasar Ekonomi dan Pengurusan Sumber Asli Negara” oleh Felo Akademi Sains Malaysia dan pakar polisi alam sekitar, Dr Hezri Adnan.

Mengulas lanjut, Hafizudin berkata, peserta turut memahami tentang percanggahan polisi antara kerajaan pusat dan negeri, kuasa Menteri Besar atau Ketua Menteri yang terlalu mutlak serta agensi teknikal kerajaan yang tiada kuasa melulus atau membatalkan.

Peserta LASAK 3.0 dari seluruh negara didedahkan tentang pentingnya demokrasi alam sekitar.

Selain itu, wujud juga kelemahan akta dan pengurusan tanah, tafsiran hutan yang salah, kesalahan zon-zon guna tanah, faktor sikap kebanyakan ahli politik yang langsung tidak prihatin atau ingin mengambil tahu tentang alam sekitar serta ancaman kemusnahan alam sekitar terhadap keselamatan negara.

“Dengan kehadiran dan bantuan pakar ekonomi, alam sekitar, politik dan sosial yang terdiri daripada kalangan akademia dan ┬ábekas pemikir kerajaan, banyak yang kami faham dan jelas tentang punca sebenar mengapa hutan kita dimusnahkan sewenang-wenangnya.

“Punca-punca ini sememangnya tidak masuk akal dan banyak perkara yang rakyat Malaysia perlu tahu,” kata pemegang Ijazah Sarjana Kejuruteraan Sivil dalam bidang Pengurusan Air dan Alam Sekitar dari University of Bristol, United Kingdom itu.

Sepanjang tahun ini, Kuasa yang berpusat di Ipoh telah mengadakan sebanyak tiga siri LASAK dengan penyertaan hampir 120 individu dari seluruh negara yang berminat untuk menjadi aktivis alam sekitar.

Sehubungan itu, Hafizudin menyeru lebih ramai masyarakat sivil, ahli akademik, ahli politik dan ahli ekonomi tampil untuk menyokong dan membantu agenda pemeliharaan alam sekitar dengan menghubungi e-mel [email protected]