Malaysia Dateline

Kuasa Menteri Dalam Negeri tentukan LTTE masih disenarai

Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penyenaraian Liberation of Tamil Tigers Elam (LTTE) dalam senarai kumpulan pengganas adalah bidang kuasa Menteri Dalam Negeri sebagaimana yang termaktub dalam undang-undang negara ini.

“Untuk rekod, selain Malaysia, beberapa negara lain turut mengisytiharkan dan mengekalkan LTTE sebagai kumpulan pengganas dalam senarai negara masing-masing. Antaranya ialah India, Kanada, Amerika Syarikat dan United Kingdom,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai respons terhadap Peguam Negara, Tommy Thomas berhubung keputusannya menghentikan prosiding jenayah di mahkamah terhadap 12 individu yang menyokong kumpulan LTTE.

Tommy Thomas juga turut mencadangkan supaya beliau selaku Menteri Dalam Negeri mengkaji semula kedudukan LTTE sebagai kumpulan pengganas.

Seksyen 66B (B) kata Muhyiddin, mengatakan bahawa Menteri Dalam Negeri boleh mengekalkan atau mengeluarkan Entiti Yang Ditentukan tersebut daripada senarai berdasarkan alasan yang dikemukakan oleh pihak berkuasa kawal selia atau pengawasan yang berkaitan atau mana-mana badan atau agensi lain.

Kata Muhyiddin, senarai berkaitan LTTE dibuat di bawah Seksyen 66B (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Ia katanya, ditentukan setelah menerima maklumat yang diberikan PDRM. Senarai tersebut diwartakan dalam Warta Persekutuan.