Malaysia Dateline

‘Kuasa pada kamu, sekarang ini sila ambil tindakan’

Exco Kesihatan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud, berkata, Perikatan Nasional (PN) perlu bertindak cepat selesaikan isu rakyat oleh kerana kuasa kini sudah beralih tangan pada kerajaan baharu itu.

Beliau berkata, dengan pelantikan Kabinet selepas hampir dua minggu negara ketiadaan menteri, masalah kesihatan rakyat semakin terabai dengan jumlah peningkatan kes COVID-19 yang semakin meningkat.

Beliau berkata, itu lah yang terjadi apabila wujudnya pihak yang ‘ghairah’ untuk menjadi kerajaan tanpa melihat situasi negara walaupun tidak mendapat mandat pilihanraya.

“Dalam keghairahan mereka nak ambil alih kuasa, mereka tak melihat kepada situasi keadaan negara.

“Dua minggu masalah politik ini berlarutan kerana menteri tak dilantik dan masalah kesihatan rakyat pun makin terabai.

“Jadi sekarang kita nak dengar dari Menteri kesihatan yang baru, apa langkah seterusnya. Silakan ambil tindakan, kita nak tengok,” katanya ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Pada masa sama, Naib Presiden AMANAH Nasional itu, turut mempersoalkan kewajaran saiz Kabinet kerajaan baharu yang menyaksikan pelantikan Jemaah Menteri sehingga 70 orang.

Jelasnya, jawatan-jawatan yang diagihkan itu ibarat mengagihkan harta faraid.

“Sekarang kita sudah ada 70 orang menteri. Adalah 70 menteri ini akan lebih efisyen dan lebih berkesan menangani masalah rakyat terutamanya masalah COVID-19?

“Apa keistimewaan yang ada pada jawatan itu? Mereka bukan nak kerja, tapi mahu jawatan kerana nak berkuasa. Itu sebab kita ada 70 Menteri.

“Nak kena bagi lantikan pada semua, macam faraid pula jawatan-jawatan itu. Yang sepatutnya satu kementerian, sudah jadi tiga,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, ini masanya parti-parti dalam gabungan kerajaan ‘telan’ semula apa yang pernah dibangkang oleh mereka dahulu.

“Semua kritikan yang dilemparkan kepada kerajaan PH termasuklah menghapuskan Dong Zong, kita akan lihat. Tapi menteri dia awal-awal lagi dah kata akan bekerjasama dengan Dong Zong itu.

“Jadi kita kutip balik apa yang dia cakap pasal PH dulu. Adakah mereka setakat membangkang kerana hendak membantah tanpa memikir panjang tentang apa yang berlaku,” Ujarnya.