Malaysia Dateline

Kuasa ‘prerogrative’ PM tidak bertentangan Perlembagaan

Isu pelantikan Latheefa Beebi Koya sebagai Ketua Pengarah SPRM yang baru dibuat adalah atas dasar ‘prerogative’ Perdana Menteri (PM), Tun Mahathir Mohamed.

Malah perkara ini telah pun diakui sendiri oleh beliau apabila menyatakan bahawa ianya adalah keputusannya sebagai PM serta tidak dibincang oleh Jemaah Menteri.

Sebaliknya kuasa ‘prerogative’ tersebut tidak bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Demikian dinyatakan oleh Ketua AMANAH kawasan Permatang Pauh, Dr Zaidi Zakaria.

Jelasnya lagi, kemungkinan yang tidak dapat dinafikan ialah beberapa perkara dalaman membabitkan SPRM perlu diselaraskan sesuai dengan halatuju dan objektif Malaysia Baru yang memerlukan seorang yang berpengalaman dan tegas dalam bidang perundangan maupun kehakiman serta berpengalaman sebagai aktivis Pakatan Harapan (PH).

Sehubungan itu ujarnya, maka pelantikan Lateefa mempunyai alasan yang kukuh sehinggakan PM melihat keperluan yang ada padanya untuk dilantik menduduki kerusi tersebut.

“Tun Mahathir mempunyai alasan yang kuat untuk berbuat demikian kerana SPRM mempunyai kedudukan yang istimewa dan tersendiri yang menjadi badan semak dan imbang atau pun ‘check and balance’ kepada perkhidmatan awam dan juga kepimpinan negara.

“Sesuatu yang unik ada pada Latheefa Koya adalah keberanian luar biasa beliau bersuara dan bertindak meskipun dilihat menentang arus kepimpinan perdana.

“Tidak dapat dinafikan pengalaman beliau sebelum ini semasa bersama PKR memperlihatkan ia seorang yang memegang kepada prinsip dan konsisten. sehinggakan ia kemungkinan besar menjadi salah satu kriteria penilaian oleh Tun, ” tegasnya lagi.

Menurut Dr Zaidi lagi, walau bagaimana pun apa yang lebih perlu diutamakan ialah bagaimana SPRM bertindak lebih efisien, cepat dan berani tanpa bias kepada kedudukan marhaen maupun pemimpin.

Justeru itu tambahnya, adalah diharapkan dengan pelantikan ini beberapa pembaharuan dapat dilaksanakan dengan lebih adil dan telus walaupun ia merupakan tugas yang amat berat dan mencabar.