Malaysia Dateline

Kuasa SPR terbatas untuk tambah kerusi Parlimen

Dewan Rakyat hari ini diberitahu bahawa kuasa pentadbiran (administrative power) Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) adalah terbatas dan tidak membolehkan badan itu menambah jumlah kawasan Parlimen.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, sebarang urusan penambahan Parlimen memerlukan kajian mengikut lat tempoh masa, serta pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan.

Jelas Ahli Parlimen Santubong itu, sebarang urusan kajian semula persempadanan perlu mengikut tidak kurang lapan tahun, atau jika ada pindaan kepada undang-undang.

“Jika ia berkaitan dengan peruntukan Fasal (2) Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan, SPR boleh memulakan urusan Kajian Persempadanan Semula setelah tamat tempoh tidak kurang lat lapan tahun daripada tarikh siapnya urusan kajian semula sebelumnya,” ujarnya.

Bagaimanapun, kata Ahli Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu, jika SPR memulakan urusan berkenaan, ia perlu diselesaikan dalam tempoh dua tahun.

“Bagi maksud tersebut, lat tempoh lapan tahun bagi kajian semula persempadanan Negeri Sarawak akan berakhir pada tahun 2023, Negeri Sabah pada tahun 2025 manakala Negeri-Negeri Tanah Melayu pula pada tahun 2026,” jelasnya.

Wan Junaidi berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Cha Kee Chin (PH – Rasah) yang mahu mengetahui langkah kerajaan mengurangkan ketidakseimbangan jumlah pengundi antara kawasan Parlimen, serta perincian kuasa pentadbiran SPR.

Terdahulu, Kee Chin ingin mengetahui langkah kerajaan untuk menambahkan kawasan pilihan raya atau persempadanan semula, selepas pertambahan pemilih yang banyak pada suku ke-3 Tahun 2021, serta rasional keputusan tersebut.

Dalam pada itu, Wan Junaidi berkata, berdasarkan Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan, tempoh lat lapan tahun itu perlu dilihat dari sudut tarikh akhir kajian dibuat.

Selain itu, ujarnya, kajian itu bukan sahaja dari sudut menambah, tetapi juga mengurangkan jumlah pengundi dalam sesuatu kawasan, dan ia merupakan keputusan bebas SPR berdasarkan kajian, tanpa gangguan dari kerajaan.