Kuasa tular bantu bela nasib Cikgu Din, diberi cuti untuk jaga isteri sakit kanser tahap 4

Oleh WAN SITI AMINAH

Baru-baru ini tular satu perkongsian tentang penderitaan seorang guru dikenali sebagai Cikgu Din yang terpaksa berulang-alik setiap dua minggu sekali dari Sarawak ke Kelantan kerana permohonan pertukaran tempat bertugasnya ke negeri Pantai Timur itu tidak diluluskan.

Difahamkan, pemilik nama sebenar Mohammad Izzudin Izhar itu sudah mula membuat permohonan pertukaran tempat bertugas dari Kanowit, Sarawak ke Semenanjung Malaysia selepas isterinya disahkan menghidap barah tulang rawan pada November 2023 lalu.

Walau bagaimanapun, permohonan guru yang berusia 34 tahun itu tidak diluluskan oleh Jabatan Pendidikan negeri sehingga kini memandangkan tempohnya berkhidmat sebagai guru tetap belum mencukupi syarat untuk berpindah iaitu selama 36 bulan.

Namun siapa sangka, penderitaan dialami oleh Cikgu Din itu akhirnya mendapat perhatian dari pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berkat kerjasama pengguna media sosial tempatan dalam menularkan kisah guru berkenaan.

Menerusi kenyataan disiarkan di platform Facebook, pihak KPM tampil menzahirkan keprihatinan mereka terhadap kebajikan Cikgu Din yang sedang diuji dengan keadaan kesihatan isterinya sebagai penghidap barah tulang rawan tahap empat.

KPM yang menyedari situasi sukar dialami petugasnya itu telah mengambil tindakan segera dengan memberikan cuti pelepasan kepada guru terbabit untuk berada di sisi isterinya sebagai satu bentuk sokongan terhadap pendidik berkenaan.

“KPM prihatin mengenai situasi seorang guru yang sedang diuji dengan masalah kesihatan isterinya seperti yang sedang tular di media sosial. Tindakan segera untuk memberi bantuan sedang diambil.

“Guru berkenaan telah diberikan cuti untuk berada bersama-sama dengan isterinya. Satu pertemuan dengan beliau akan diadakan dalam waktu terdekat bagi membincangkan mengenai kebajikannya dan perkara-perkara lain yang berbangkit.

“KPM turut mendoakan kesembuhan isteri guru berkenaan dan akan memastikan kebajikan beliau dan keluarga terpelihara,” katanya dalam satu hantaran di platform Facebook mengenai kisah Cikgu Din pada Khamis.

Terdahulu, kisah mengenai Cikgu Din mula tular di media sosial selepas dikongsikan oleh rakan seperjuangannya, Harima Abd Rahman yang juga merupakan seorang guru berhubung cabaran pendidik berkenaan untuk menjaga isterinya.

Perkongsian Harima mengenai penderitaan dialami oleh rakan seperjuangannya itu.

Cabaran utama yang dialami oleh guru berkenaan adalah permohonan pemindahannya ke Semenanjung Malaysia tidak diluluskan kerana tempoh perkhidmatannya yang belum melepasi syarat iaitu sekurang-kurangnya tiga tahun.

Permohonan itu dibuat kerana Cikgu Din mahu berada di samping isterinya iaitu Nur Atiqah My Yusoff, 30 yang kini menghidap kanser tahap empat dan sedang menerima rawatan kemoterapi di sebuah hospital sekitar Kelantan.

Difahamkan, Cikgu Din yang mengajar subjek Pendidikan Islam di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ming Wok, Kanowit, Sarawak itu terpaksa berulang-alik setiap dua minggu sekali untuk pulang ke Kelantan bagi memberi sokongan kepada isterinya.

Pengorbanan demi pengorbanan yang dilakukan akhirnya memakan diri sendiri apabila Cikgu Din disahkan menghidap tekanan mental atau ‘major depressive disorder’ (MDD) sehingga dirinya sendiri memerlukan rawatan kesihatan di Sarawak.

Baca juga: Wanita terkejut tahu betapa mahalnya nasi campur di ibu kota, tak pasal-pasal kena caj RM69