Malaysia Dateline

Kuasa tutup kilang: Persekutuan vs negeri, pandangan saya agak berbeza

Perspektif sebagai peguam dan Ahli Majlis Perbandaran | Saya terpanggil untuk mengulas dan memberikan pandangan mengenai isu kerajaan Negeri Selangor melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang dikatakan mempunyai kuasa untuk menutup kilang-kilang yang menjadi punca kepada perebakan Covid-19 di seluruh negeri.

Polemik ini telah menimbulkan perdebatan yang hangat antara mantan Ahli Parlimen dan seorang peguam. Kenyataan telah dikeluarkan oleh kerajaan negeri melalu Exco yang berkaitan menyatakan pendirian mereka.

Pada hemah saya, isu yang telah dibangkitkan harus dilihat daripada pelbagai sudut. Sebagai seorang peguam dan juga Ahli Majlis Perbandaran yang terlibat langsung dalam pentadbiran PBT, saya juga mahu menawarkan satu perspektif sudut pandang yang mungkin agak berbeza.

Apa pun, hujah perundangan seharusnya dilihat sebagai suatu pandangan yang terbuka dan tertakluk kepada penafsiran yang berbeza.

Perspektif undang-undang

Perspektif undang-undang yang menjadi topik perbahasan adalah Akta Kerajaan Tempatan 1976 atau singkatannya disebut Akta 171.

Secara umumnya, Akta 171 adalah menyentuh tentang pembentukan, tatacara dan kuasa sesebuah kerajaan tempatan atau PBT. Punca kuasa PBT dalam mentadbir satu-satu perbandaran adalah berasal daripada Akta ini.

Malah undang-undang kecil bagi menangani perjalanan PBT juga hendaklah selari dengan Akta 171. Pendek kata, Akta 171 adalah akta ibu kepada semua perundangan PBT di seluruh Malaysia.

Saya terus kepada kepada topik perdebatan iaitu adakah kerajaan negeri melalui PBT mempunyai kuasa untuk menutup kilang-kilang yang menjadi punca kepada perebakan apa-apa penyakit berjangkit seperti dan/atau termasuk Covid-19.

Penerangan tentang kuasa yang terpakai untuk tangani penyakit berjangkit

Sebenarnya, kerajaan negeri juga mempunyai kuasa untuk berbuat demikian di bawah Akta 171. Seksyen 72 (1) (f) (Bahagian IX) menyebut tentang kuasa-

(1) sesuatu pihak berkuasa tempatan mempunyai kuasa bagi melakukan semua atau mana-mana daripada perkara yang berikut, iaitu: (f) Untuk melindungi, memajukan kesihatan awam dan mengambil segala langkah yang perlu dan munasabah praktik;

(i) bagi mencegah berlakunya apa-apa penyakit berjangkit, boleh berjangkit atau
boleh dicegah;

(ii) (dipotong);

(iii) bagi mencegah berlakunya, atau bagi meremedi atau menyebab diremedi, apa-apa kacau ganggu atau keadaan yang mungkin mendatangkan bencana atau bahaya kepada kesihatan;

Manakala seksyen 73 (1) (b) (i) dan (v) pula menjelaskan (tentang) undang-undang kecil-

(1) sesuatu pihak berkuasa tempatan boleh dari semasa ke semasa membuat, meminda atau membatalkan undang-undang kecil untuk menjalankan peruntukan akta ini dengan cara lebih baik dan khususnya;

(b)(i) untuk memelihara kesihatan awam;

(v) untuk menghendaki ditutup sekolah atau premis perdagangan yang disyaki menjadi atau mungkin akan menjadi punca jangkitan, dan untuk melarang orang yang dijangkiti atau disyak dijangkiti atau mungkin akan dijangkiti daripada menjalankan apa-apa perdagangan, urusan atau pekerjaan yang mungkin
menyebabkan merebaknya sesuatu penyakit;

Selanjutnya Seksyen 101 (v) (Bahagian XII) menggariskan (tentang) kuasa tambahan pihak berkuasa tempatan-

Selain daripada apa-apa kuasa lain yang diberi kepada sesuatu pihak berkuasa tempatan oleh akta ini atau oleh mana-mana undang-undang bertulis lain, sesuatu pihak berkuasa tempatan mempunyai kuasa bagi melakukan segala atau mana-mana daripada perkara yang berikut, iaitu:

(v) melakukan segala perkara yang perlu untuk atau yang bermanfaat kepada keselamatan,
kesihatan dan kesenangan awam;

Komentar mengenai Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 atau Akta 342 yang juga merupakan akta atau undang-undang Persekutuan yang dijadikan sebagai perbandingan, saya tidak melihat Akta tersebut bercanggah dengan Akta 171 di atas.

Malah sebaliknya, kedua-dua Akta terbabit adalah saling melengkapi (complimentary) dan digunapakai dalam konteks yang berlainan.

Maknanya, dua akta Persekutuan yang memberikan kuasa yang sama dalam menangani penyakit berjangkit tetapi mempunyai kaedah pemakaian yang berbeza.

Terkait peruntukan seksyen 102 (s) Akta 171 pula yang dibaca bersekali dengan seksyen 107 (2) akta yang sama, saya berpandangan bahawa kedua-dua peruntukan tersebut adalah undang-undang spesifik kepada undang-undang umum yang memberikan kuasa kepada PBT dalam menangani penyakit berjangkit dalam aspek kesihatan awam.

Jelas sekali dalam pembukaan kepada seksyen 102 tersebut dinyatakan “…untuk memelihara kesihatan, keselamatan dan kesentosaan penduduk…”.

Manakala seksyen 107 (2) pula memberikan kuasa penuh kepada PBT untuk membatalkan lesen atau permit yang telah diberikan sekiranya bercanggah dengan hasrat untuk memelihara kesihatan, keselamatan dan kesentosaan penduduk dan ada ketikanya pembatalan tersebut boleh dilakukan tanpa sebab!

Sebagai pengamal undang-undang, saya dan rakan-rakan yang lain berpegang bahawa undang-undang itu sentiasa terbuka kepada tafsiran yang berbagai-bagai.

Sekurang-kurangnya terdapat 5 aturan tafsiran yang digunapakai dalam kaedah menafsirkan satu-satu peruntukan undang-undang selain daripada Akta Tafsiran 1948 dan 1967 (Akta 388).

Tidak salah juga jika sesiapa yang mahu menafsirkan matan “…tanpa memberi apa-apa sebab.” sepertimana yang terkandung dalam seksyen 107 (2) tersebut sebagai suatu yang bersifat literal (“as it is”).

Justeru, tidak timbul persoalan “rule of law” atau “rule by law” tetapi adalah persoalan tafsiran undang-undang yang rencam.

Perspektif pentadbiran

Punca kuasa dalam menangani apa-apa isu atau krisis nasional bukan sahaja diambil daripada kaca mata undang-undang sahaja tetapi juga sudut pentadbiran.

Sepertimana yang sedia dimaklumi, Malaysia mempunyai tiga peringkat kerajaan iaitu persekutuan, negeri dan tempatan. Ketiga-tiga kerajaan ini berganding bahu dalam melancarkan perjalanan pentadbiran negara.

Setiap peringkat kerajaan ini juga mempunyai kuasa dan autoriti tersendiri yang telah diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Ada ketikanya mereka berkongsi kuasa. Kesemua kuasa dan autoriti tersebut diungkapkan secara jelas dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan.

Pada ketika ini, kita disibukkan dengan polemik adakah kuasa Persekutuan atau autoriti negeri (melalui PBT) dalam menangani isu Covid-19 ini.

Saya ingin memetik peruntukan Perkara 95A (5) dan (6) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa Perkara 95A berkaitan tentang Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan

(5) menjadi kewajipan Majlis Negara bagi kerajaan tempatan untuk membentuk, dari semasa ke semasa, dengan berunding dengan kerajaan Persekutuan dan kerajaan-kerajaan negeri, suatu dasar negara untuk memajukan, membangunkan dan mengawal kerajaan tempatan di seluruh Persekutuan dan untuk mentadbirkan mana-mana undang-undang yang berhubungan dengannya;

dan kerajaan Persekutuan dan negeri hendaklah mengikuti dasar yang dibentuk sedemikian.

(6) menjadi kewajipan juga bagi kerajaan Persekutuan dan kerajaan mana-mana negeri untuk berunding dengan Majlis Negara bagi kerajaan tempatan berkenaan dengan apa-apa perundangan yang dicadangkan mengenai kerajaan tempatan dan menjadi kewajipan Majlis Negara bagi kerajaan tempatan untuk menasihati kerajaan-kerajaan itu mengenai mana-mana perkara yang sedemikian.

Kesimpulan

Berdasarkan kepada peruntukan perlembagaan di atas, maka bolehlah difahami di sini bahawa ketiga-tiga peringkat kerajaan mempunyai peranan yang sama dalam bersama-sama menangani krisis kesihatan sebegini namun soalnya adalah adakah proses yang disebut dalam Perkara 95A (5) dan (6) tersebut benar-benar berlaku?

Sebagai menyimpulkan, saya ingin menekankan kembali bahawa ini merupakan pandangan saya mengenai kuasa umum PBT dalam menangani isu-isu kesihatan awam termasuk Covid-19.

Turut ditegaskan di sini bahawa seharusnya tidak berlaku sebarang percanggahan dalam penguatkuasaan Akta 171 dan Akta 342 dalam usaha menangani penularan wabak ini tetapi hanya tinggal bagaimana sikap yang diambil oleh ketiga-tiga peringkat kerajaan dalam memahami kehendak Perlembagaan untuk bekerjasama bagi menyelesaikannya.

Apa pun, undang-undang itu hanyalah suatu hasilan legislatif yang sentiasa terbuka kepada tafsiran apatah lagi cabaran.