Kuasai bahasa Melayu lebih penting diberi keutamaan, kata Anwar

Kuasai bahasa Melayu lebih penting diberi keutamaan, kata Anwar

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berpendapat penguasaan bahasa Melayu jauh lebih penting berbanding perdebatan mengenai penggunaan tulisan jawi.

Beliau berkata, semua pihak tidak harus mempertikaikan kedudukan bahasa Melayu yang penting dalam memartabatkannya sebagai bahasa kebangsaan.

“Ini sebagai sesuatu yang remeh (tulisan jawi) berbanding dengan usaha memperkasa dan memastikan penguasaan bahasa Melayu pada tahap terbaik untuk semua rakyat serta mutu pendidikan negara.

“Yang kedua, nak pertingkatkan penguasaan bahasa lain, itu dibolehkan kerana ia bukan ‘zero one game’ (hanya satu pemenang, yang lain pihak kalah),” katanya kepada media selepas merasmikan Konvensyen Motivator Malaysia, di Shah Alam hari ini.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu pengajaran tulisan jawi di sekolah.

Walau bagaimanapun, Anwar berkata, beliau tidak bermaksud untuk tidak menyokong pengajaran tulisan jawi.

“Saya tak kata saya tak sokong (tulisan jawi) tetapi bagi saya yang utama adalah memastikan semua rakyat boleh menguasai bahasa Melayu.

“Ini tidak harus bertolak ansur, ia jelas. Masyarakat juga perlu bersikap lebih terbuka menguasai bahasa-bahasa lain dan berhubung baik dengan semua kaum di Malaysia,” tambahnya lagi.