Malaysia Dateline

Kuasai pelabuhan walaupun MCA tunggal dalam Kabinet Muhyiddin

Empat pelabuhan utama di negara ini didominasi pemimpin MCA dan komponen parti Gabungan Parti Sarawak (GPS) ketika Perikatan Nasional (PN) dikatakan sebagai kerajaan Melayu dan Islam.

Pelantikan Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong iaitu satu-satunya wakil rakyat kaum Cina sebagai Menteri Pengangkutan dalam Kabinet Muhyiddin kemudiannya membawa perubahan teraju pengurusan pelabuhan utama negara.

Kerajaan tanpa DAP itu menyaksikan Datuk Tan Teik Cheng, 59, dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) berkuatkuasa 18 April lalu.

Naib Presiden MCA tersebut kembali ke SPPP menggantikan pemimpin DAP Pulau Pinang, Jeffrey Chew yang telah tamat kontrak pada 1 April lalu.

Datuk Tan Teik Cheng kembali semula ke Pejabat Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang selepas lebih dua tahun meninggalkannya.

Bermula tarikh sama juga, pemimpin Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) iaitu komponen GPS, Datuk Robert Lawson Chuat anak Vincent Entering, 62, dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pelabuhan Bintulu (LPB).

Pelantikan Ahli Parlimen Betong itu untuk tempoh dua tahun menggantikan Naib Pengerusi DAP Pusat, Dr John Brian Anthony.

LPB adalah Pihak Berkuasa Pelabuhan dan badan kawal selia untuk Pelabuhan Bintulu dan merupakan sebuah jabatan di bawah Kementerian Pengangkutan.

Dalam Laporan Ketua Audit Negara 2016 Siri 2, beberapa kelemahan ketara dalam pengurusan perolehan di LPB dikesan termasuk meluluskan projek bernilai RM1.247 bilion tanpa kajian menyeluruh.

Untuk rekod, selain PBB, tiga parti politik tempatan lain membentuk gabungan GPS iaitu Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

GPS bersama Bersatu, Umno, Pas, MCA dan MIC membentuk kerajaan PN menerusi Langkah Sheraton pada akhir Februari lalu dengan ‘merampas’ pentadbiran kerajaan daripada PH.

Selanjutnya, dominasi MCA dalam pengurusan pelabuhan utama negara dapat dilihat daripada pelantikan Setiausaha Agung parti itu, Datuk Chong Sin Woon sebagai Pengerusi Lembaga Pelabuhan Kelang (LPK) juga berkuat kuasa 18 April lalu.

LPK merupakan sebuah badan berkanun yang ditubuhkan pada 1 Julai 1963 untuk mengambil alih pentadbiran Pelabuhan Kelang dari Keretapi Tanah Melayu.

Sin Woon, 47, menggantikan Timbalan Pengerusi DAP Selangor, Ean Yong Hian Wah untuk menerajui pelabuhan terbesar di Malaysia yang mengendalikan hampir 50 peratus dagangan negara itu.

Tahun lalu, Pelabuhan Kelang berada di tangga ke-12 dalam kalangan pelabuhan kontena utama di dunia dengan mengendalikan 13.5 juta unit kontena bersamaan 20 kaki (TEU).

Pelabuhan Kelang juga menghubungkan negara dengan lebih dari 500 pelabuhan di 120 buah negara di seluruh dunia.

Datuk Chong Sin Woon mengadakan lawatan pertama ke Ibu Pejabat LPK pada 4 Mei lalu.

Sementara itu, pemimpin MCA Melaka, Datuk Koh Chin Han dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pelabuhan Melaka (LPM).

Semalam, Chin Han, 50, mengadakan lawatan pertama ke Tanjung Bruas Port Sdn Bhd (TBP) yang turut disertai Pengurus Besar LPM, Kapt. K. Subramaniam.

“Saya telah diberi taklimat berkenaan fungsi, operasi dan perancangan pembangunan Pelabuhan Tanjung Bruas, Melaka.

“Walaupun pandemik Covid-19 sedikit sebanyak telah memberi halangan dan cabaran kepada TBP, namun saya yakin kebolehan, keupayaan dan prestasi TBP akan dapat dilipatgandakan apabila pembangunan pelabuhan siap nanti,” katanya dipetik dari Facebook beliau.

Dalam pada itu, seorang pemimpin Pas dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pelabuhan Kemaman iaitu Tuan Che Alias Hamid yang juga Ahli Parlimen Kemaman.

Datuk Koh Chin Han (kanan) dalam lawatan pertama ke Tanjung Bruas Port Sdn Bhd semalam.