Malaysia Dateline

Kuasai pertuturan bahasa Inggeris bukan melalui PPSMI, kata Mahfuz

Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar mengalu-alukan Kementerian Pendidikan memperkenalkan subjek pertuturan bahasa Inggeris di peringkat sekolah rendah kebangsaan dan sekolah menengah kebangsaan.

Timbalan Menteri Sumber Manusia itu berkata, penguasaan bahasa Inggeris hanya akan berjaya dilakukan melalui pendekatan pendidikan yang bersifat pertuturan dan bukannya mengembalikan semula pelaksanaan pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI).

“Boleh dianjurkan ada hari dan waktu yang anak-anak boleh bercakap dalam bahasa Inggeris. Contohnya, seminggu sekali semua perlu bercakap dalam bahasa Inggeris di sekolah.

“Jadi, ia dengan sendirinya akan melazimkan pertuturan tersebut di samping subjek pertuturan itu perlu dilakukan,” dipetik dari Malaysiakini.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu menegaskan kekal dengan pendiriannya sebelum ini iaitu kembali kepada subjek pertuturan bukan pembacaan dan penulisan.