Malaysia Dateline

Kuatkuasakan larangan merokok KKM tidak berganjak

Kementerian Kesihatan tidak akan berganjak daripada melaksana penguatkuasaan larangan merokok meskipun mendapat bantahan daripada perokok.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya akan menghadapi tentangan dan bantahan.

Sudah pasti kita tidak akan berganjak dengan larangan ini malah kita akan lakukan dengan lebih baik lagi ke arah membina Malaysia Baharu yang lebih sihat katanya.

Menurutnya, KKM mendapat sokongan dan penglibatan Jabatan Peguam Negara serta pakar perundangan untuk membantu kementerian menghadapi permohonan semakan kehakiman yang difailkan oleh tujuh perokok tegar.

“Kita akan mendepani tentangan-tentangan ini dan kita tahu ada semakan kehakiman berhubung larangan ini,” katanya pada sidang media semalam dipetik sinarharianonline.

Dzulkefly berkata, selepas lapan hari dilaksanakan, sebanyak 30,548 premis telah dilawati pihak penguatkuasaan sementara 13,724 amaran dikeluarkan.

Bilangan risalah diedar pula adalah 76,274 keping dan seramai 75,280 individu telah didekati dalam usaha memberikan pendidikan dalam soal rokok, katanya.

Ditanya sama ada kementerian mempertimbangkan cadangan untuk membenarkan aktiviti merokok di premis tersebut selepas pukul 10 malam, beliau menyifatkan ia adalah langkah terkebelakang.

Cadangan itu tidak akan langsung pertimbangkan," tegasnya.Mengenai cadangan mengurangkan kandungan nikotin dalam rokok bagi mengurangkan ketagihan, Dzulkefly berkata pihaknya ada membincangkan perkara itu namun belum membuat sebarang keputusan.