Kubah pada tokong diturunkan selepas perbincangan dengan Adun Meru

Kubah pada tokong diturunkan selepas perbincangan dengan Adun Meru

Tokong di sebuah kilang yang telah diturunkan binaan kubahnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Meru, Ustaz Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar berpendapat isu kubah lengkap dengan lambang bulan dan bintang di sebuah kilang dekat Jalan Teratai sudah selesai.

Ahli Jawatankuasa AMANAH Selangor itu memberitahu, pihak kilang terbabit bersetuju untuk menurunkan kubah itu tanpa sebarang masalah selepas perbincangan dilakukan.

“Alhamdulillah, perbincangan saya dengan wakil pihak kilang maka pihak kilang bersetuju untuk menurunkan kubah tanpa sebarang masalah.

“Pihak mereka juga memohon maaf dan akui ketidaksedaran perkara ini sebagai isu sensitif kerana perkara ini telah lama berlaku bertahun-tahun,” katanya.

Sehubungan itu, Ustaz Mohd. Fakhrulrazi mengingatkan semua masalah akan selesai secara aman dan baik jika ada perbincangan dan bertolak ansur.

“Saya anggap isu ini selesai,” katanya lagi.

Terdahulu, beliau memanjangkan isu tersebut kepada Majlis Perbandaran Klang (MPK) selepas memperoleh maklumat awam.

“Pagi tadi (semalam) pihak MPK telah ke lokasi dan didapati pihak kilang telah membuang lambang bulan bintang atas kubah binaan.

“Pihak kilang tidak memberi kebenaran untuk siasatan lanjut dilakukan kerana cuti. Saya sendiri akan bertindak dan bertemu pihak kilang untuk pastikan binaan kubah itu juga dibuang sekiranya menjadi isu.

“Saya tidak akan berdiam diri berkaitan isu ini. Tindakan tetap akan diambil,” ujarnya sambil mengongsikan beberapa gambar berkaitan kilang itu di laman Facebook.

Foto terbabit menunjukkan tokong berkubah lambang bulan dan bintang itu terletak di pintu utama Kilang Kejuruteraan Chong Lek Engineering Works Sdn. Bhd. di Lot 4914.

Aduan awam di media sosial tentang tokong kontroversi di Meru.