
Kali pertamanya calon daripada pembangkang berjaya menembusi Kampung Melayu Gelang Patah Johor.
Perkara tersebut membuatkan calon N49 Kota Iskandar, Haji Dzulkefly Ahmad berpuas hati dengan sambutan yang diberikan terhadap beliau.
“Sebelum ini kita tak boleh masuk ke kawasan ini dan pernah sewaktu Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang lalu, kita dibaling batu.
“Perkara ini membuktikan rakyat sudah semakin matang dalam membuat pilihan. Kalau kita lihat, ini merupakan kubu kuat Umno namun hari ini kita boleh katakan ia sudah semakin goyah.
“Jika gaya ini berterusan, saya yakin untuk Pakatan Harapan (PH) memenangi kerusi di Kota Iskandar ini,” jelas Dzulkefly ketika ditemui.
Menurut tuan rumah, Razali Hassan, 42, beliau berpuas hati dengan sambutan yang diberikan oleh penduduk kampung terhadap kehadiran calon-calon dari PH.
“Keadaan banyak berubah dan dapat disaksikan tindakan yang tidak diingini tak berlaku. Ini menggambarkan bahawa penduduk kampung di sini semakin terbuka mindanya.

“Kehadiran juga tidak mendukacitakan dan ramai yang hadir sememangnya penduduk dari kampung ini,” kata Razali Hassan.
Menurut sumber, kampung tersebut sebelum ini adalah tempat penyokong kuat Umno- Barisan Nasional (BN) dan sebelum ini kampung tersebut telah menolak kasar kehadiran Lim Kit Siang sebagai calon di Parlimen Iskandar Puteri (Gelang Patah sebelum ini) pada PRU13 yang lalu.