Malaysia Dateline

Kuching diisyitiharkan Zon Merah Covid-19

Perintah Kawalan Pergerakan Tahap 2 yang diumumkan semalam telah mengisytiharkan Daerah Kuching sebagai Zon Merah ekoran 76 kes positif Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah berkata, kawalan dan pemantauan yang lebih ketat perlu dilaksanakan bagi mengurangkan risiko penyebaran Covid-19 di kawasan terbabit.

Katanya, JPBN memutuskan kawasan-kawasan berdekatan yang dikategorikan Zon Merah secara terperinci.

“Pecahan kategori bagi kawasan Zon Merah ialah Semariang 20 kes (Semariang/Taman Sukma) diikuti Zon 1 18 kes (JalanArang/Stampin/Jalan lapangan Terbang/Jalan Song/TamanBDC/Jalan Stutong), Satok mencatatkan 15 kes (Patingan/Satok/SgMaong), Taman Sri Wangi – 12 kes (Taman Sri Wangi/Laruh Skim) dan Zon 2 iaitu 10 kes (Central Park/Kenny Hill/Tabuan Laru/SMK Seri Setia/Taman Green Height.

“Manakala di Bahagian Kota Samarahan telah merekodkan sebanyak 18 kes positif iaitu pecahan Jalan Datuk Musa 18 kes (Desa Ilmu/Tanjung Bundong/MuaraTuang),” jelas beliau.

Uggah menegaskan, sebanyak 23 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan semalam, menjadikan jumlah keseluruhan 211 kes setakat ini.

“Daripada 23 kes ini, 21 kes dirawat di Hospital Umum Sarawak dan 2 kes dari Hospital Sibu.

“Bagi kes orang disyaki baharu di Daerah Kuching adalah sebanyak 63 kes yang mana 33 kes adalah yang telah di saring di Kompleks Belia dan Sukan dan 30 kes adalah daripada Hospital Umum Sarawak.

“Justeru, sesiapa sahaja yang tiba melalui (darat/udara/laut) ke Sarawak akan ditempatkan di Pusat Kuarantin selama 14 hari yang mana mereka tiba,” katanya lagi.