Malaysia Dateline

Kuching FA gah layak ke Liga Perdana 2020

Skuad wargakota, Kuching FA layak beraksi pada saingan Liga Perdana musim 2020 apabila berjaya menumpaskan status ‘abangnya’ Sarawak 3-1 dalam aksi penentuan ‘play-off’ di Stadium Sarawak malam tadi.

Tiga jaringan menerusi Sahran Abdul Samad, Mohammad Hafis Saperi dan Joseph Kalang Tie memastikan anak didik Ideris Untong mudah menyingkirkan cabaran skuad senior,Sarawak yang terpaksa akur turun ke Liga M3 tahun hadapan.

Sebaik sepak mula, Kuching FA bermula garang dengan mengatur beberapa siri serangan ke kubu lawan.

Akhirnya seawal minit kelapan, skuad warga kota sudahpun di depan hasil jaringan Sahran Abdul Samad.

Aksi selepas itu semakin menarik dan sedikit tegang dengan kedua-dua pemain mempamerkan permainan yang dilihat agresif.

Bersambung babak kedua, penyerang import Sarawak dari Brazil, Hudson Dias berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-52.

Bagaimanapun, Mohammad Hafis Saperi kembali meletakkan Kuching FA di depan dengan jaringan pada minit ke-76.

Enam minit berbaki perlawanan penyerang prolifik Kuching FA, Joseph Kalang Tie melengkapkan malam bersejarah skuad warga kota dengan meledak gol kemenangan pada minit ke-84 sekali gus menggamatkan stadium di hadapan 5,000 penyokong sendiri.