Malaysia Dateline

Kuching kembali Zon Kuning, 2 kes positif baharu direkodkan

Daerah Kuching kembali ke status Zon Kuning selepas dua kes baharu positif COVID-19 direkodkan semalam.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN)Sarawak berkata, dengan dua kes yang direkodkan itu telah menjadikan jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 di Sarawak setakat semalam ialah sebanyak 575 kes.

JPBN memberitahu, kes ke-574 merupakan seorang lelaki warga tempatan yang telah mendapatkan rawatan di Hospital Umum Sarawak (HUS) pada 5 Julai 2020 kerana mengalami sesak nafas dan kelesuan sejak 1 Julai 2020.

“Beliau dimasukkan ke wad isolasi. Beliau juga merupakan pesakit Diabetes Melitus dan mengalami masalah darah tinggi,” kata JPBN dalam satu kenyataan di Kuching.

Beliau didapati positif pada 9 Julai 2020 melalui ujian makmal RT-PCR COVID-19.

Bagi kes ke-575 pula, pesakit merupakan seorang wanita warga tempatan yang bekerja di sebuah syarikat konsultan kejuruteraan di Kuching.

Beliau telah mendapatkan rawatan di HUS pada 7 Julai 2020 dan dimasukkan ke wad perubatan perempuan kerana mengalami sakit dada dan batuk kering.

“Saringan awal COVID-19 pada 7 Julai 2020 mendapati beliau adalah positif untuk ujian RTK Antibody. Ujian makmal RT-PCR COVID-19 mendapati beliau adalah positif pada 9 Julai 2020,”jelas kenyataan itu.

Kedua-dua kes merupakan kes Severe Acute Respiratory Infection (SARI) yang berkemungkinan mendapat jangkitan tempatan kerana kedua-dua mereka tiada sejarah perjalanan ke luar negara.

Pengesanan kontak kes telah dijalankan dan kontak-kontak kes ini telah dikenalpasti.

“Untuk kes Ke-574, kontak merupakan ahli keluarga terdekat sahaja. Manakala untuk kes Ke-575, seramai 30 orang kontak telah dikenalpasti dan diberikan arahan kuarantin serta menjalani saringan.

“Tempat kerja beliau telah ditutup sementara untuk tujuan disinfeksi. Punca jangkitan bagi kedua-dua kes masih dalam siasatan,”ujar kenyataan itu lagi.