‘Kuda tunggangan DAP’ hanya kitar semula tuduhan Umno terhadap Pas

‘Kuda tunggangan DAP’ hanya kitar semula tuduhan Umno terhadap Pas

Kemukakan bukti jika benar wujudnya keadaan Amanah menjadi tunggangan DAP, dipetik daripada risalah kempen terbitan Amanah Selangor.

Terdiri daripada dua set, Buletin Harapan 1 dan 2 dengan tema “Bebaskan Rakyat Selamatkan Malaysia”, penerangan bagi isu tersebut dilihat bagi menjawab tohmahan Pas sebelum ini.

“Kalau tidak ada (bukti), janganlah panjang-panjang fitnah ini.

“Nampaknya, kecaman yang dibuat Umno terhadap Pas sebagai ‘kuda tunggangan DAP’ dahulu, kini digunakan Pas terhadap Amanah pula. Amat malang,” kandungan risalah itu dipetik.

Menurut risalah itu, Amanah mempunyai struktur organisasi dan sistem syura serta membuat keputusannya yang tersendiri.

“Sebarang keputusan yang dibuat oleh Amanah adalah melalui sistem syuranya sendiri. Sistem syura ini mustahil dikawal oleh DAP,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Amanah Selangor juga mempersoal Pas yang sebelum ini mengadakan kerjasama dengan DAP dalam Pakatan Rakyat ketika itu.

“Amanah hanya meneruskan peranan ini (kerjasama dengan DAP) yang telah terbukti berjaya melemahkan BN.

“Ia sebuah koalisi (gabungan) yang mana semua keputusan dibuat secara bersama atau konsensus, tidak timbul soal kuda tunggangan atau khadam parti tertentu.

“Rakyat yang mahukan pembangkang (Pakatan Harapan) menggantikan BN tidak harus terpengaruh dengan fitnah jahat ini,” tambah kenyataan di risalah itu lagi.

COMMENTS

Wordpress (0)