Malaysia Dateline

Kudeta semalam gagal, kata Khalid Samad

Khalid menyifatkan usaha untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) semalam gagal apabila Tun Dr Mahathir tidak terlibat.

“Telah disahkan bahawa Tun tidak ada di istana dan tidak ada di Hotel Sheraton semalam.

“Jadi, saya boleh isytiharkan, cubaan kudeta semalam telah gagal,” kata Khalid ketika menyertai majlis pra pelancaran pesta belon panas di Putrajaya pagi ini.

Malam tadi, cubaan untuk menghimpunkan kesemua penyokong kerajaan Pakatan Nasional gagal dan bertukar menjadi Majlis Makan Malam Muafakat Ahli Parlimen.

Majlis yang berlangsung di Hotel Sheraton, Petaling Jaya itu dihadiri pimpinan utama Umno, Bersatu dan Pas dengan dirancang dan disusun Datuk Seri Azmin Ali.

Namun begitu tetamu utama yang mereka tunggu, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak kunjung tiba.

Antara yang hadir termasuk Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Pas, Datuk Seri Hadi Awang.

Azmin kemudiannya bertemu dengan penyokongnya selama kira-kira sejam dalam satu pertemuan tertutup di hotel itu.

 

Khalid melambaikan tangan kepada media selepas naik ke belon panas untuk pra pelancaran Pesta Belon Panas Putrajaya.