Kudrat anggota ATM antara penyumbang kepada kerancakan ekonomi negara

Kudrat anggota ATM antara penyumbang kepada kerancakan ekonomi negara

Kudrat anggota tentera yang bersengkang mata menjaga keamanan negara dilihat menjadi antara faktor penyumbang kepada ekonomi dan kekayaan golongan ahli perniagaan di negara tercinta, Malaysia.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, para usahawan tidak akan dapat menjalankan sebarang bentuk perniagaan sekiranya negara berada dalam keadaan kacau-bilau atau huru-hara.

Katanya, keamanan negara menyumbang kepada kerancakan ekonomi negara, justeru itu jasa dan pengorbanan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) perlu dihargai oleh golongan masyarakat.

“Pada saya, siapa yang menyebut anggota tentera ini makan dan tidur sahaja, barangkali rakyat lupa dan lalai tentang kesedaran mengenai keamanan ini. Kami berasa kesal kepada sesiapa yang memberi tanggapan sedemikian (negatif) kepada perwira kita.

“Namun, saya yakin semangat perajurit kita tidak pudar kerana mereka dilatih untuk menjaga keamanan negara, mempertahankan kedaulatan negara dan sentiasa berkhidmat dengan cemerlang.

“Sebarang sindiran yang ditujukan kepada perwira kita, saya yakin ia (sindiran) tersebut tidak akan langsung menjejaskan semangat mereka dalam menjalanan tugas demi menjaga keamanan negara tercinta,’ katanya dalam rancangan bual bicara Malaysia Hari Ini (MHI) yang disiarkan di TV3 bertajuk ‘Peranan dan Bakti ATM’.

Dalam rancangan bual bicara itu, Mohamad turut memaklumkan, dalam sesi Parlimen yang akan bermula 7 Oktober depan, pihaknya akan membentangkan Kertas Putih Pertahanan yang melibatkan pelbagai pihak dalam usaha memperkasakan aspek pertahanan negara.

Mohamad yang juga Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) berkata, penyediaan Kertas Putih itu kini berada di fasa terakhir sebelum dibentangkan di sesi Parlimen akan datang.

“Dalam kertas putih itu, kita akan mendedahkan tentang perancangan 10 tahun akan datang seperti soal peralatan, bagaimana penglibatan rakyat dan sebagainya yang melibatkan bidang pertahanan,” katanya.