Malaysia Dateline

Kuis adalah pertubuhan akademik, bukan berkaitan keganasan

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini tampil menegaskan, Kesatuan Ulama Islam Sedunia (Kuis) adalah sebuah pertubuhan bersifat akademik, bukannya berkaitan keganasan.

Abdul Hadi yang juga bekas Naib Presiden Kuis berkata, pertubuhan akademik itu adalah sah dan mempunyai ibu pejabat di merata dunia.

“Kuis adalah sebuah pertubuhan sah dan ada ibu pejabat di merata dunia, dalam kerajaan pun ada wakil di negeri-negeri.

“Saya tegaskan, Kuis adalah pertubuhan bersifat akademik, dan bukannya pertubuhan persenjataan,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang membangkitkan jawatan yang pernah dipegang Abdul Hadi dalam Kuis ketika membahaskan isu berkaitan kumpulan pengganas.

Walaupun tidak menyebut nama, Kit Siang membangkitkan penglibatan ‘seorang pemimpin pembangkang Malaysia’ yang menjadi Naib Presiden Kuis.

Menurut Abdul Hadi lagi, penubuhan Kuis dirasmikan oleh presiden negara-negara Timur Tengah seperti di Turki, Algeria dan Yaman.

Dalam pada itu, beliau turut menyifatkan veteran Dap itu sebagai, tidak tahu dan tiada ilmu pengetahuan apabila membangkitkan isu jawatan pernah disandangnya di Kuis dengan mengaitkannya dengan keganasan.