Malaysia Dateline

Kukuhkan parti hadapi PRN12, kata AMANAH Sarawak

Ahli-ahli Parti AMANAH Negara Negeri Sarawak disaran agar sentiasa kukuh dan memberi kerjasama yang erat antara satu sama lain bagi menghadapi cabaran Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 Sarawak akan datang.

Pengerusinya, Abang Halil Abang Naili berkata, kerjasama antara ahli dan pemimpin di peringkat cawangan dan negeri merupakan senjata yang ampuh bagi memenangkan calon AMANAH di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) nanti.

“Saya memohon supaya ahli-ahli di seluruh negeri dapat memberi kerjasama antara satu sama lain dalam menghadapi cabaran dan rintangan pada PRN12 kelak.

“Ini kerana, jika kita berbalah sesama sendiri, ia adalah kunci bagi pihak musuh menyerang sekali gus kita akan gagal melaksanakan apa jua strategi bagi memenangkan calon kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada pertemuan bersama jentera parti AMANAH dari DUN Demak Laut, Semariang, Muara Tuang dan Sebuyau di Kuching hari ini.

Abang Halil menegaskan, walaupun pada PRN12 nanti AMANAH hanya bertanding di sembilan kerusi DUN, namun pihaknya tetap yakin dan menaruh harapan bahawa kerusi yang diletakkan calon itu mampu meraih kemenangan.

“In shaa Allah…bersama-sama kita berdoa semoga calon AMANAH berjaya mencipta sejarah pada PRN12 akan datang.

“Tetapi untuk mencapai kejayaan dan kemenangan itu, ahli-ahli haruslah kukuh bersatu dan ikhlas apabila menjalankan gerak kerja di kawasan masing-masing,” tambahnya.

Mengenai pertemuan bersama jentera parti hari ini, Abang Halil memberitahu ia adalah sebagai langkah dalam mempersiapkan gerak kerja yang dijalankan dalam masa terdekat ini.

“Kita telah berbincang bersama semua jentera DUN untuk mencari pendekatan terbaik dalam misi memenangkan calon selain memupuk semangat kerjasama di kalangan seluruh ahli parti di negeri ini,” kata beliau lagi.

Untuk rekod, pada PRN12 nanti AMANAH bakal bertanding di sembilan kerusi DUN iaitu Demak Laut, Semariang, Muara Tuang dan Gedong.

Kerusi lain ialah Sebuyau, Kabong, Semop, Kuala Rajang dan Jemoreng.