Malaysia Dateline

Kula Segaran harap SPRM siasat segera dalang sogokan RM30 juta, tawaran jawatan menteri

Ahli Parlimen Ipoh Barat M Kula Segaran berharap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dapat menemui pelaku disebalik rasuah dengan sogokan wang tunai RM30 juta dan tawaran jawatan menteri secepat mungkin.

Naib Pengerusi Kebangsaan DAP itu berkata, tawaran berunsur korupsi adalah barah kepada negara kita dan hal tersebut mesti dihapuskan dengan apa pendekatan sekali pun.

“Adakah kerajaan PN (Perikatan Nasional) mempunyai kemahuan politik untuk mengatasi kesalahan ini?

“SPRM harus sampai ke tahap penyiasatan ini dan memastikan pelakunya menghadapi masalah undang-undang.

“Yang paling penting, dalang mesti dinamakan dan diheret keluar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, bekas Menteri Sumber Manusia itu berkata, SPRM Ipoh memanggil beliau dan setiausahanya, Jeremy Chuah berkaitan tawaran “wang, kedudukan menteri dan insentif tambahan” sebagai pertukaran sokongan kepada kerajaan PN.

“Mereka (SPRM) menemu ramah Jeremy selama kira-kira empat jam di mana dia membocorkan kandungan telefonnya. SPRM kemudiannya mengambil telefon bimbitnya.

“Mereka kemudian menemu ramah saya selama sejam mengenai perkara tersebut. Sepanjang tempoh itu, saya meminta SPRM menyiasat hal yang sangat parah itu.

“Saya menekankan bahawa sekiranya Ahli Parlimen ditawarkan wang sebanyak itu untuk bertukar sokongan, itu akan menjejaskan demokrasi kita.

“Saya percaya bahawa tawaran yang dibuat adalah untuk menarik Ahli Parlimen untuk menukar sokongan kepada PN.

“Sudah pasti ada dalang di sebalik semua tawaran ini. Persoalannya, ialah siapa dalang tersebut?” soalnya.

Dalam masa sama, Kula Segaran berpendapat sogokan sama mungkin juga diterima Ahli Parlimen lain.

Katanya, pada masa ini, lima Ahli Parlimen DAP dan lima Keadilan telah dihubungi dengan tawaran berlimpah jutaan ringgit.

“Saya tidak menolak kemungkinan sekiranya tawaran serupa dibuat kepada Ahli Parlimen lain yang tidak memaklumkan secara terbuka kepada dunia,” tambahnya lagi.