Kumar gesa rakan sepasukan berhabis-habisan dalam aksi menentang Pakistan

Kumar gesa rakan sepasukan berhabis-habisan dalam aksi menentang Pakistan

Penjaga gol hoki negara, S.Kumar menggesa rakan sepasukan supaya bermain berhabis-habisan untuk menundukkan Pakistan dalam perlawanan kedua Kumpulan D Kejohanan Piala Dunia, di Stadium Kalinga, Bhubaneswar, India, esok.

Beliau berkata adalah amat penting buat pasukan negara untuk mendapatkan mata penuh daripada perlawanan itu bagi memastikan kemaraan mereka seterusnya selepas dibelasah 0-7 oleh pasukan Belanda.

“Saya tahu kita semua kecewa dengan aksi kita pada perlawanan pertama tetapi itu sudah berakhir dan belajarlah daripadanya. Jangan biarkan ia memberi kesan kepada kita,” kata Kumar, 39, yang mempunyai 305 caps mewakili negara, seperti dipetik dalam laman sesawang rasmi Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), www.mhc.org.my.

Beliau berkata skuad negara mempunyai peluang yang baik untuk menewaskan Pakistan kerana perlawanan antara kedua pasukan selalunya seimbang.

“Kita tidak patut gentar kepada mereka. Kita hormati mereka dan sedar mereka juga ingin menang. Mereka juga tewas dalam perlawanan pembukaan mereka dan perlu tiga mata untuk mara ke pusingan kedua.

Ini adalah lebih kepada perlawanan hidup atau mati untuk kita tetapi saya percaya rakan-rakan saya dan tahu mereka mahu menebus kekecewaan mereka. Kita perlu bersedia,” katanya.

Kumar juga sedar ini merupakan kempen Piala Dunia terakhir beliau dan beliau tidak mahu ia berakhir dengan kekecewaan.

“Ketika ini, saya menghadapi kejohanan satu per satu. Semuanya berkisar dengan prestasi. Hari saya tidak boleh bermain dengan baik, maka saya akan berhenti. Saya tidak akan berfikir satu atau dua tahun ke hadapan. Usia juga tidak lagi berpihak kepada saya,” katanya.

Loading...

Pada Kejohanan Hoki Trofi Juara-Juara Asia 2018 di Oman Oktober lepas, Malaysia tewas 0-1 kepada Pakistan dalam perlawanan round-robin dan 1-3 dalam perlawanan playoff menentukan pingat gangsa menerusi penentuan pukulan penalti selepas seri 4-4.

Sementara dalam perlawanan peringkat kumpulan Sukan Asia, Ogos lepas, Malaysia tewas 1-4 dalam perlawanan kumpulan.

— BERNAMA