Malaysia Dateline

Kumpulan B40,M40 tampil ke hadapan jika mempunyai idea baharu, kata Gobind Singh

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) bersedia mendengar daripada mana-mana pihak, termasuk kumpulan B40 dan M40, dan membantu mereka dengan idea dan cadangan baharu dalam usaha untuk meningkatkan pendapatan mereka, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo.

Beliau berkata kementerian dan agensinya, seperti Malaysia Digital Economy Corporation Sdn Bhd (MDEC) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), akan meneliti cadangan tersebut dan kemudian memutuskan tentang cara untuk membantu kumpulan ini — daripada pemandu teksi kepada peneroka FELDA dan petani — untuk merealisasikan idea mereka dengan memperkenalkan apa-apa aplikasi atau menambah baik model perniagaan semasa mereka.

“Banyak syarikat telah mengunjungi kementerian, MDEC atau SKMM dengan idea mereka. Mereka juga mempunyai aplikasi dan penyelesaian untuk pelbagai sektor. Itu sebabnya saya katakan, kita perlu melihat kepada vertikal yang berbeza. Terdapat mereka yang datang (menyatakan) bagaimana mereka dapat membantu dengan teknologi drone untuk meningkatkan hasil di ladang,” kata Gobind.

“Apabila mereka datang kepada kami, mereka mempunyai masalah dan mereka perlu tahu jika kami mempunyai hubungan untuk membolehkan mereka melakukan apa yang mereka ingin lakukan di ladang. Kementerian saya akan menelitinya dan menghantarnya ke MDEC atau SKMM untuk melihat kepada spesifikasi.

“Kadangkala terdapat cadangan untuk membantu kementerian. Kami melihat begitu banyak penyelesaian untuk meningkatkan produktiviti dan hasil. Itu sebabnya kementerian saya akan membantu memajukan cadangan kepada kementerian lain yang berkenaan dan melihat bagaimana kami dapat memainkan peranan untuk memudahkan (proses tersebut). Itu pendekatan yang saya ambil. Saya terbuka; jika terdapat sebarang cadangan, hubungi saya atau MDEC,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri pelancaran Digital Native Agenda (DNA23) yang dicetuskan oleh Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, pad Isnin.

Beliau berkata kerajaan memerlukan semua pihak untuk memperkasakan agenda digital negara untuk menghadapi sebarang cabaran dan masalah pada masa akan datang.

“Jika kita menunggu dan menggunakan pendekatan, atau proses lain, keadaan akan berubah. Bagi mempercepatkan proses, kami menggunakan pendekatan terbuka iaitu kementerian boleh berurusan dengan MDEC jika mereka mahu,” katanya.

Terdahulu pada sesi townhall, Anwar berkata DNA23 merupakan platform untuk mengumpul idea dan pandangan tentang bagaimana untuk mentransformasikan industri digital negara pada dekad akan datang.

Menurut beliau, pelaksanaan DNA23 dipacu oleh tiga teras utama: kemakmuran dan kebahagiaan rakyat; ‘future-proofing’, serta etika dan budaya.

“Dunia digital sentiasa berubah. Menjadi satu cabaran untuk bersaing, bagaimanapun ia juga penting untuk kita menerima dan merebut peluang ini. DNA23 bertujuan mengetengahkan isu-isu yang telah dikenal pasti dan dibawa ke perhatian saya.

“Ia turut bertujuan memperkasakan pihak berkepentingan landskap digital dan membantu menetapkan keutamaan dalam memacu negara ke arah era digital,” katanya, sambil menambah platform ini akan meneruskan Koridor Raya Multimedia (MSC) yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sementara itu, pada sidang media, Anwar menjelaskan inisiatif yang sama telah diperkenalkan di negara-negara seperti China dan India, yang telah membantu golongan petani mendapat lebih banyak pendapatan dengan memberikan mereka aplikasi untuk mempopularkan produk mereka dan melaksanakan strategi mekanisme harga.

“Terdapat keperluan untuk memberi kumpulan B40 yang antaranya petani, peluang untuk memanfaatkan DNA23 untuk meningkatkan pendapatan mereka,” katanya.- BERNAMA