Kumpulan dakwa wakili majoriti pimpinan AMK Kelantan desak Dr. Hafidz ditukar

Kumpulan dakwa wakili majoriti pimpinan AMK Kelantan desak Dr. Hafidz ditukar

 

Sekumpulan yang mendakwa mewakili majoriti pimpinan Angkatan Muda Keadilan (AMK) negeri Kelantan mendesak ketua mereka Dr. Hafidz Rizal Amran ditukar segera.

“Majoriti Ketua AMK Cabang di Kelantan telah mengeluar dan menandatangani sebuah memorandum bagi mendesak pemecatan Sdr Hafidz Rizal Amran dari posisi Ketua AMK Kelantan,” kata ketua kumpulan itu, Mohd Khairul Amin Abd Rahman pada sidang media di pejabat PKR Kelantan lewat malam tadi.

Menurutnya desakan ini dibuat kerana Hafidz telah hilang sokongan majoriti dari pimpinan akar umbi yang mewakili ketua-ketua AMK Cabang di Kelantan.

“Oleh itu, kami mendesak Ketua AMK Pusat, Sdr YB Nik Nazmi melantik seorang Ketua AMK Negeri Kelantan yang baru sebagaimana yang diputuskan dalam Mesyuarat bersama wakil AMK Pusat pada malam ini,” katanya.

Selain itu katanya, seluruh AMK Kelantan turut menyokong penuh kepimpinan Presiden,Datuk Seri Wan Azizah Ismail dan akan mempertahankan segala keputusan yang dibuat pucuk pimpinan parti.

“Kami juga akan bersama dan menyokong kepimpinan Tuan Haji Abd Aziz Kadir selaku Pengerusi MPN Parti KeAdilan Rakyat Negeri Kelantan,” katanya.

{loadposition myposition} Mohd Khairul yang merupakan Naib Ketua AMK Kelantan mengisytiharkan komitmen penuh dan kerjasama utuh bersama rakan-rakan dari Pemuda AMANAH Kelantan dan Armada Bersatu Kelantan serta Pemuda DAP Kelantan atas semangat Pemuda Pakatan Harapan Negeri Kelantan.

“Atas semangat sahabat seperjuangan bersama rakan-rakan pemuda dalam Pakatan Harapan Negeri Kelantan ini, kami akan terus komited berusaha bekerja ke arah menumbangkan Kerajaan Kleptokrasi BN atas semangat kesefahaman dalam Pakatan Harapan,” katanya.

Ditanya berhubung wujudnya surat layang yang turut mendesak Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Kelantan, Ab. Aziz Ab Kadir meletak jawatan, beliau berkata pihaknya tidak tahu menahu berkenaan perkara tersebut.

CATEGORIES
TAGS