Malaysia Dateline

Mohd Zuhdi Marzuki

Kumpulan Pas mesra Umno tidak setuju guna lambang PN?

Penggunaan lambang Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka perlu dirujuk kepada badan pemutus dalam Pas.

Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marsuki berkata, keputusan penggunaan lambang itu hendaklah dikembalikan kepada parti masing-masing sama ada bersetuju atau tidak dengan apa yang Mesyuarat PN telah putuskan.

Zuhdi berkata demikian dalam kenyataan malam tadi mengulas keputusan Mesyuarat PN kelmarin bahawa PN termasuk Pas akan menggunakan lambang PN dalam PRN Melaka.

“Pas sebagai sebuah parti yang mempunyai badan pembuat keputusan perlu diberi peluang untuk membincangkan keputusan penggunaan lambang PN tersebut, apatah lagi perkara penggunaan lambang dalam pilihanraya termasuk dalam Fasal 81 Perlembagaan Pas,” katanya.

Dia menegaskan, Jawatankuasa Kerja Pas Pusat merupakan badan pemutus bagi pihak parti itu berkaitan dengan penggunaan lambang dalam pilihan raya.

Sehubungan itu, katanya, keputusan Mesyuarat PN perlu dikembalikan kepada Pas sebelum ia dimuktamadkan.

“Lebih daripada itu pada pemerhatian saya, penggunaan lambang dalam pilihan raya adalah berkaitan perkara prinsip dalam Pas yang perlu dibincangkan hukumnya oleh Majlis Syura Ulama (MSU), disebabkan ia berkaitan dengan Amal Islami yang dilakukan oleh ahli-ahli parti.

“Perkara seumpama ini pernah timbul dalam satu konvensyen Pakatan Rakyat (PR) kira-kira 10 tahun yang lalu di Tropicana, Petaling Jaya.

“Konvensyen bersetuju supaya parti-parti komponen PR menggunakan satu lambang (iaitu setelah PR didaftarkan) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum,” katanya.

Justeru, Zuhdi berkata, beliau menyarankan supaya PN memberi ruang kepada badan-badan pemutus di dalam Pas membuat pendirian untuk penggunaan lambang PN tersebut.