Kumpulan Pelita akan lancar IPO menjelang 2020

Kumpulan Pelita akan lancar IPO menjelang 2020

Kumpulan Syarikat Pelita merancang untuk melancarkan tawaran awam awal (IPO) di Pasaran ACE Bursa Malaysia untuk membiayai peluasan perniagaan dan perbelanjaan modal mereka, menjelang tahun depan.

Pengarah Eksekutif Pelita Samudra Pertama (M) Sdn Bhd Datuk KK Sihabutheen berkata 30 peratus saham syarikat akan ditawarkan di pasaran, dan menurutnya ia akan mengambil masa sekurang-kurangnya 18 bulan untuk syarikat itu disenaraikan di Bursa Malaysia.

“Bagi harga saham, akan akan diumumkan selanjutnya selepas kami menerima maklum balas daripada pihak bank,” katanya kepada pemberita di Seberang Jaya di sini, hari ini.

Menurutnya, perancangan juga sedang dibuat untuk membuka sebanyak enam restoran baharu di seluruh Malaysia dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Sihabutheen berkata bergantung pada kebolehpasaran komersial, syarikat akan membuka lebih banyak cawangan di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur pada suku kedua 2020, dan dua hingga tiga cawangan di luar Lembah Klang antara 2021 dan 2022.

Rangkaian restoran Pelita, yang mula beroperasi pada 1994, mempunyai kira-kira 1,600 pekerja tempatan dan warga asing, dan telah mendapat sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Bagi memperluas dan mempelbagaikan operasi kumpulan kepada industri lain, kumpulan (Pelita) sedang merancang untuk menubuhkan sekolah antarabangsa persendirian di Perai menjelang 2021,” katanya.

Untuk rancangan itu, beliau berkata projek perintis akan dimulakan di peringkat sekolah rendah-menengah, membabitkan dua kelas masing-masing bagi setiap tahap tahun persekolahan dengan kapasiti antara 20 dan 25 pelajar setiap kelas.

Beliau berkata sekiranya projek perintis itu berjaya, syarikat akan mendirikan lebih banyak insitusi seumpama itu dan meningkatkan program pendidikan sehingga tahap prauniversiti.

— BERNAMA