Malaysia Dateline

Kumpulan pengganas LTTE: ‘Jika beri RM100 pun bantu juga’

Wujud transaksi kewangan dalam jumlah yang besar dipercayai untuk menggerakkan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) di negara ini, dedah Ketua Penolong Pengarah E8 Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

Menurutnya, transaksi itu dikesan ekoran penahanan 12 individu yang disyaki ada kaitan dengan kumpulan ganas terbabit dalam operasi khas Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman sejak 10 Oktober lalu.

Walau bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan nilai transaksi kewangan yang dikesan.

“Kita tidak boleh dedahkan berapa nilai transaksi yang ditemui. Bagi kita, nilai tidak menjadi isu, jika beri RM100 pun bantu juga.

“Malah, sebelum ini kes membabitkan (militan) Daesh… masukkan RM50 pun kita dakwa juga. Ia bukan isu nilai… ia adalah perbuatan salah menyokong kumpulan pengganas,” tegasnya.

Ayob Khan Mydin Pitchay

Ayob Khan berkata demikian pada sidang media di Bukit Aman pagi tadi.

Beliau turut mendedahkan pihaknya menemui bahan berkaitan LTTE seperti bendera, buku dan poster gambar pemimpin ketika melakukan penggeledahan ke atas individu yang ditahan.

“Transaksi kewangan ini dipercayai untuk membiayai kegiatan mempromosi, merekrut serta menggerakkan program LTTE di negara ini,” jelasnya.