Kumpulan perusuh kuil jerit pukul bomba

Kumpulan perusuh kuil jerit pukul bomba

Saksi ketujuh prosiding inkues kematian Muhammad Adib Mohd. Kassim memaklumkan kepada Mahkamah Koroner bahawa dia mendengar jeritan sekumpulan lelaki yang menyerang jentera penyelamat kebakaran (FRT) supaya memukul anggota bomba.

Anggota pemadaman, Mohd. Sharol Anuar Kamarudin, 27, hari ini berkata, beliau terus terjun untuk memadamkan kebakaran kereta sejurus tiba di perkarangan Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, Selangor pada 26 November tahun lalu.

Walau bagaimanapun kata Sharol di hadapan Koroner Rofiah Mohamad, beliau melihat tiga lelaki memakai topi keledar meluru ke arahnya sebaik turun dari kenderaan FRT tersebut.

Mereka, jelasnya, memegang batang besi dan objek panjang seakan-akan pedang samurai manakala sekumpulan lagi di belakang semua individu terbabit menuju ke arahnya.

“Saya tergamam ketika itu dan terdengar mereka menjerit ‘jangan padam, pukul bomba’. Menyedari terasa terancam, saya yang ketika itu memegang pintu pada tangan kanan terus menaiki semula jentera FRT.

“Apabila saya menaiki jentera, saya hanya duduk seketika di bahagian tepi dan terdengar serangan.

“Saya yang ketakutan, terus mengubah kedudukan di bahagian tengah sebelum kenderaan itu terus mengundur bagi mengelakkan daripada terus diserang,” dedahnya menjawab soalan Pegawai Pengendali, Zhafran Rahim Hamzah.

Terdahulu , Mahkamah Koroner yang bersambung pada pukul 2.45 petang akan menyambung prosiding inkues esok pada pukul 9 pagi dengan memanggil dua saksi awam.

Adib meninggal dunia pada 17 Disember lalu selepas 21 hari bertarung nyawa akibat cedera parah dalam keganasan di tapak kuil yang dilapor media termasuk dalam rancangan pengembangan operasi pembangunan hartanah konglomerat terkemuka Filipina, Ayala Corporation di Malaysia.