Malaysia Dateline

Kumpulan Rentas Parti Parlimen bantah penahanan warga asing semasa pandemik

Kumpulan Rentas Parti Parlimen mengkritik tindakan kerajaan yang menyatakan akan melakukan penahanan warga asing tidak berdokumen sekiranya kemasukan mereka didapati dilakukan secara haram sepanjang tempoh sekatan pergerakan penuh.

Kenyataan yang dibuat bersama Ahli-ahli Parlimen pembangkang dan kerajaan itu menegaskan, tindakan kerajaan tidak boleh diterima apabila masih menganggap bahawa penamgkapan dan pemenjaraan warga asing dapat mengawal pandemik Covid-19.

Mereka mengingatkan agar kerajaan tidak melakukan kesilapan serupa dan menggesa untuk mempertimbangkan semula cadangannya, selain terus memfokuskan kepada usaha mengurangkan kepadatan penjara.

“Adakah anda lupa insiden gelombang ketiga yang berpunca dari kelompok penjara di Sabah pada September 2020?

“Anda lupakah lebih dari puluhan ribu kes Covid-19 selama beberapa bulan yang lalu dan kini merebak di penjara seluruh negara, mengancam nyawa orang-orang di penjara, kakitangan penjara, keluarga mereka, dan masyarakat kita?

“Tindakan ini bukan sahaja tidak produktif untuk usaha kita membendung penularan Covid-19, tetapi juga membahayakan masyarakat kita,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan tersebut dibuat bersama antara Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Sri Azalina Othman Said; Bersatu, Datuk Sri Rohani Abdul Karim (Batang Lupar); PKR, Nurul Izzah Anwar (Permatang Pauh; Warisan, Datuk Mohd Azis Jamman (Sepanggar); DAP Liew Chin Tong.

Turut serta, pensyarah Universiti Malaya, Professor Datuk Dr. Adeeba Kamarulzaman dan Peguambela dan Peguamcara, Karpal Singh & Co, Sangeet Kaur Deo

Terdahulu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengumumkan akan memperketatkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan kawalan sempadan terutama di laluan panas yang menjadi tempat pendaratan pendatang asing.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, penahanan akan dibuat terhadap warga asing yang tidak berdokumen dan memasuki Malaysia secara haram.

Hamzah memberitahu, Malaysia mempunyai penjara satelit dan depoh tahanan satelit yang boleh digunakan untuk menempatkan kesemua warga asing yang ditahan.

“Kalau masih ada warga asing yang degil kita akan tangkap dan kita akan pastikan penjara bersedia untuk menempatkan mereka yang ditahan ini,” katanya.

Pada masa sama, Ahli Parlimen merentasi parti juga berpendapat bahawa tindakan itu akan merugikan kesihatan awam kerana penahanan warga asing akan mewujudkan ketakutan sekaligus membantutkan niat mereka untuk sukarela mendapatkan vaksin.

Tanpa penyertaan mereka dalam program vaksin nasional katanya, kerajaan akan sukar mencapai imuniti kelompok.

“Kumpulan Rentas Parti Parlimen Mengenai Reformasi Penjara dan Tempat Tahanan berpegang teguh pada sains dan bukti.

“Kami meminta kerajaan untuk belajar dari pengalaman lalu dan tidak mengulangi kesalahan yang sama,” katanya lagi.