Malaysia Dateline

Kumpulan seni-budaya cukup 2-3 orang saja

Malam Puisi Tanahair 1983, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ahmad Shah, tanpa protokol bermesra dengan seniman dan sasterawan yang hadir, antaranya Usman Awang, Jamil Sulong, Awang Had Salleh dan SH Alattas.

Menjelang sambutan 43 tahun Grup Teater Elit (GTE) pada 19 November (majlis sambutannya pada 22 November), banyaklah berlaku percakapan mengenainya di kalangan kawan-kawan dan saya. Sedikit kenangan mengenainya telah saya tulis dalam kolum ini dua minggu lalu.

Antara yang saya fikir menarik untuk ditulis (kata sahabat saya bagus untuk diketahui dan dipelajari oleh aktivis seni-budaya generasi hari ini) ialah perihal kumpulan ini yang dianggotai oleh tiga orang sahaja, tetapi aktiviti yang dibuat seperti ia dianggotai oleh ramai orang.

Kisah bagaimana ia ditubuhkan, seperti telah saya ceritakan dua minggu lalu, hanyalah kerana kami bertiga (Sutung Umar Rs, Ajikik dan saya) setiap petang selepas kerja akan duduk di mana-mana restoran atau coffee-house bercakap-cakap hal sastera-budaya khusus puisi dan sambil membaca puisi yang kami tulis.

Suatu petang, kami terfikir nak buat satu majlis untuk kami baca puisi-puisi kami kepada khalayak. Telah banyak puisi yang kami tulis. Dan kami selalu baca sesama kami sahaja. Mengapa tidak kita baca kepada khalayak? Dan di situlah, tanpa kami rancang dan tanpa kami terfikir pun, bermulanya sebuah sejarah.

Perdana Menteri Dr Mahathir berucap sebagai Penaung Malam Puisi Tanahair 1980, di Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kami bertiga. Tetapi apabila membuat persembahan kami jemput kawan-kawan untuk bersama kami menjayakan persembahan itu. Misalnya yang pertama di Sudut Penulis DBP itu kami jemput Siti Zainon Ismail jadi penyair jemputan, dan kami jemput juga seorang artis popular jadi pembaca jemputan. Artis popular untuk show pertama itu kami jemput Fatimah Razak.

Sambutan aktiviti pertama kami di luar jangkaan. Ramai nama-nama besar dalam sastera hadir. Kami suka dan seronok. Dan itu mendorong kami meneruskan aktiviti. Kami hanya bertiga. Mudah untuk merancang. Tak perlu bermesyuarat pun.

Kami memang tiap-tiap hari berjumpa di tempat kerja, dan lepas kerja pergi minum petang bersama, sebelum pulang rumah. Kalau bermesyuarat itu maksudnya berbincang, bertukar-tukar fikiran, memang tiap-tiap petanglah kami bermesyuarat. Cuma mesyuarat kami itu berjalan secara yang sangat santai dan secara tak formal.

Mesyuarat kami banyak ketawa. Ajikiklah yang selalu membuat kami ketawa. Ajikik mengajar kami bercakap dan berbincang secara santai dan sering ketawa. Dia ada cara dan gaya tersendiri bagi menghidupkan suasana santai. Mereka yang kenal dia tahulah apa yang saya maksudkan.

Ajikik tidak lama aktifnya dalam GTE. Namun setelah tidak aktif pun dia tetap kawan rapat dan kami kekal berkawan. Hanya dia tidak ikut dalam aktiviti, kerana sebab tertentu. Dan sumbangan dia kepada gaya dan pendekatan GTE dalam beraktiviti itupun kekal – santai, bersahaja, selalu ketawa, dan persahabatan adalah asas kami beraktiviti berkumpulan.

Kata “persahabatan” itu pula bukanlah sekadar makna yang biasa-biasa tetapi persahabatan dalam ertikatanya yang istimewa – rapat lebih daripada kawan basa dan berkawan bukan sekadar hingga dengan keluarga tetapi hingga dapat memahami maksud atau kehendak sahabatnya walaupun tanpa diucapkan sahabatnya itu.

Dan agak peliknya kami tidak pernah berselisih faham atau marah walaupun dalam hal-hal yang biasanya boleh menimbulkan marah. Misalnya pernah kami berjanji berjumpa sekian waktu tetapi sahabat itu terus tidak muncul-muncul atau tibanya terlewat beberapa jam. Kami tidak marah dan tidak menuntut penjelasan. Pernah alasannya hanya “aku terlupa”, dan selesai di situ. Kami terus berurusan seperti biasa.

Setelah Jaafa HS masuk mengambil tempat yang ditinggalkan Ajikik, gaya dan pendekatan GTE kekal walaupun keperibadian Jaafa HS amat berbeza dibandingkan Ajikik. Dan Jaafa HS pun ada kelainannya tersendiri.

Kehadiran Jaafa HS paling terkesan ketika GTE beracara baca puisi dua minggu sekali di Hotel Century, (selama hampir dua tahun setengah, 1978-1981) dan ketika pementasan “Pemain Api” di Panggung Eksperimen Universiti Malaya.

Jaafa HS (Syed Jaafar Husin), gambar terbarunya dirakamkan Dinsman 14 November lalu, di Batu Pahat, Johor.

Mengenang kembali aktiviti-aktiviti GTE sekitar akhir 1970-an dan awal 1980-an itu saya seperti tidak percaya bagaimana semua itu boleh berlaku dan dilakukan oleh hanya tiga orang penulis yang bergerak secara suka-suka dan berseronok dalam beraktiviti.

Walaupun hanya suka-suka dan seronok, antara aktiviti GTE misalnya siri “Malam Puisi Tanahair”, saya mendapatkan Perdana Menteri waktu itu Dr Mahathir menjadi Penaungnya dan saya mendapatkan persetujuan Perdana Menteri itu melalui pertemuan dalam jet peribadinya ketika penerbangan dari Alor Setar ke Kuala Lumpur.

Malam Puisi Tanahair 1983 pula GTE menjemput Yang Dipertuan Agong menjadi tetamu dan kami memohon baginda hadir tanpa protokol dan tanpa kerusi istimewa (di Dewan Bahasa dan Pustaka).

Dan saya masih ingat lagi kawan saya Shuhaibun Yusuf, Pengarah Kebudayaan Negeri Sabah, menyatakan rasa hairannya bagaimana GTE yang hanya tiga orang sahaja boleh mendapatkan persetujuan Kerajaan Negeri Sabah menganjurkan dan membiayai keseluruhan program tiga hari Malam Puisi Tanahair 1984 yang membawa ramai penyair penting ke Kota Kinabalu, dan kehadiran mereka dira’ikan Ketua Menteri Harris Salleh dalam satu pertemuan khas, dan Yang Dipertua Negeri pula mengadakan jamuan rasmi di istananya untuk semua yang terlibat.

Dan ada banyak lagilah aktiviti yang dibuat oleh GTE dalam beberapa fasa kegiatannya, termasuk fasa Grup Teater Tari Profesional yang para penari tetapnya menjalani latihan setiap hari di sebuah studio di Hotel Century, di bawah pimpinan Pengarah Kreatif Ali Ishak.

Juga sempat mengadakan siri dinner theatre di Hotel Century dan Hotel Federal; mengadakan siri persembahan teater tradisional Makyong di beberapa tempat di Kelantan, Shah Alam dan Kuala Lumpur; dan fasa Keluarga Bujang Lapuk dengan sesi latihan tetap setiap malam di Komplek Budaya Negara (KBN), dengan beberapa produksi termasuk untuk televisyen RTM.

Dan ada banyak lagi aktiviti yang semuanya digerakkan oleh dua atau tiga orang aktivis tegar berkenaan. Bagaimanakah itu semua boleh berlaku? Jawapan ringkas saya ialah walaupun tenaga kerja tetapnya hanya dua-tiga orang sahaja yang bekerja dengan sukahati dan ikhlas dalam persahabatan, namun mereka berdua-bertiga ini selalu mempunyai beberapa orang kawan yang terdiri dari tokoh-tokoh penting, yang sentiasa membantu mereka menjayakan program-program berkenaan.

Antara tokoh-tokoh penting itu ialah Usman Awang, M Noor Azam, Hassan Ahmad, Tan Kai Hee, Baharuddin Musa, Krishen Jit, Dr Shanmugalingam, Jins Shamsuddin dan SH Alatas. Manakala kawan-kawan yang selalu membantu dalam persembahan pula termasuklah Zubir Ali, Siti Zaleha Hashim, Sani Sudin, Aziz HM, Yusof Osman, Rogayah Hamid, Rahim Razali dan Faridah Merican.