Malaysia Dateline

Kumpulan tabligh ditempatkan di lokasi sementara di Miri

Disebabkan jadual penerbangan ke Kuala Lumpur yang terhad dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini, Kumpulan Tabligh dari Perhimpunan Jemaah Tabligh di Masjid Sri Petaling terpaksa melanjutkan tempoh kuarantin mereka di Dewan Serbaguna Kampung Lembah Hijau dan Surau Darul Falah di Miri.

Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri, pihaknya memutuskan Dewan Serbaguna Kampung Lembah Hijau dan Surau Darul Falah di Miri sebagai lokasi transit pusat kuarantin sementara kepada kumpulan itu bagi menunggu penerbangan pulang ke Semenanjung Malaysia.

Kata kenyataan itu, kesemua jemaah tabligh berkenaan telah pun menjalani ujian saringan Covid-19 dan dikuarantin di Hospital Miri sebelum menjalani tempoh 14 hari kuarantin di Kampung Sukan PETRONAS Miri.

“Proses disinfeksi atau nyahkuman telah dilakukan di Pusat Kuarantin Sementara Dewan Serbaguna Kampung Lembah Hijau dan Pusat Kuarantin Sementara Surau Darul Falah Miri pada Jumaat lalu,” jelas kenyataan itu.

Sementara itu, wakil kumpulan tabligh tersebut merakamkan terima kasih kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana (JPBB) Bahagian Miri, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), PDRM, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan semua pasukan barisan hadapan atas layanan yang baik sepanjang berada di Miri.

“Terimakasih kepada semua pihak terlibat kerana telah memberi layanan yang amat baik kepada kumpulan kami sepanjang menempuhi PKP di sini,” ujarnya.