Malaysia Dateline

Kunjungan JKPK wujudkan momentum jalin kerjasama strategik, kata SPR

Julung kalinya, delegasi Jawatankuasa Pilihan Khas Pilihan Raya (JKPK Pilihan Raya) dan Jawatankuasa Pilihan Khas Untuk Melantik Jawatan-Jawatan Utama Perkhidmatan Awam (JKPK JUPA) melakukan kunjungan ke ibu pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini.

Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun dalam sidang media di ibu pejabat SPR, di Putrajaya, hari ini.

Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, kunjungan tersebut adalah satu momentum kepada kerjasama strategik antara JKPK Pilihan Raya dan JKPK JUPA dengan pihak SPR.

“Ia bagi bertukar pandangan di samping melihat ruang dan peluang untuk penambahbaikan pengendalian penjalanan pilihan raya di negara ini.

“Kami (SPR) bersedia memberikan kerjasama penuh kepada kedua-dua Jawatankuasa tersebut bagi membuktikan kesungguhan SPR terhadap pengurusan pilihan raya yang adil, cekap dan telus.

“Delegasi ini diketuai secara bersama oleh Pengerusi JKPK Pilihan Raya, Syed Ibrahim Syed Noh (Ahli Parlimen Ledang) dan Pengerusi JKPK JUPA, William Leong Jee Keen (Ahli Parlimen Selayang) dengan penglibatan seramai 9 orang Ahli Dewan Rakyat yang merupakan ahli-ahli daripada jawatankuasa-jawatankuasa tersebut,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat SPR, di Putrajaya, hari ini.

Turut hadir adalah Setiausaha Dewan Rakyat, Datuk Roosme Hamzah.

Susulan pertemuan itu, Pengerusi JKPK Pilihan Raya, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, pihaknya melihat terdapat banyak ruang kerjasama yang boleh dilakukan terutamanya dalam memastikan pilihan raya yang adil, bebas dan telus.

“Pada masa yang sama, kami juga bersetuju supaya mesti ada perkongsian daripada segi laporan dan perkara-perkara berkaitan dengan reformasi pilihan raya.

“Untuk makluman, ini adalah pertemuan pertama antara ahli-ahli jawatankuasa dan juga pihak SPR sejak jawatankuasa ini ditubuhkan pada akhir tahun lepas.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak SPR kerana amat terbuka dan menerima kunjungan kami dengan amat positif,” katanya.

Terdahulu, delegasi JKPK Pilihan Raya dan JKPK JUPA telah dibawa melawat ke Galeri Tan Sri Abdul Aziz (Galeri Pameran SPR) untuk melihat sejarah pelaksanaan pilihan raya di Malaysia sebelum sesi perbincangan yang turut melibatkan Pengerusi SPR, Timbalan Pengerusi, Ahli-ahli SPR dan pengurusan tertinggi SPR.