Kunjungan jumpa PM politik matang dan sejahtera, kata Pas

Gambar kenangan kunjungan Pas ke pejabat Tun Dr Mahathir.

Pas menyifatkan kunjungan hormat Presiden Pas bersama Menteri Besar Terengganu kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai satu politik matang dan sejahtera.

Ketua Penerangannya, Nasrudin Hassan berkata, kunjungan ini juga berlandaskan konsep taawun siasi (kerjasama plitik).

“Sebuah kunjungan yang terus memaknakan nilai Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) dan melestari konsep Taawun Siasi,” tulis Nasrudin melalui facebook beliau.

Semalam, melalui facebooknya, Tun Dr Mahathir memaklumkan kunjungan dari Pas dan kerajaan negeri Terengganu.

Datuk Seri Abdul Hadi Awang bersama Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan bekas setiausaha agung Pas Datuk Mustafa Ali mengunjungi Dr Mahathir kira-kira jam 10 pagi semalam.

Pertemuan itu diadakan di pejabat Dr Mahathir di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya.

Beberapa keping gambar telah dimuat naik di laman facebook dengan Dr Mahathir berkata, beliau berbesar hati menerima kehadiran tiga pemimpin Pas Terengganu itu.

“Saya berbesar hati menerima kunjungan YAB Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Presiden Pas Datuk Seri Hj Hadi Awang serta Datuk Mustafa Ali di pejabat saya pagi tadi,” ujarnya.

Dr Ahmad Samsuri turut memuat naik gambar sama di laman facebook beliau dengan mengucapkan terima kasih kepada Pengerusi Pakatan Harapan itu.

“Terima kasih YAB Tun Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia kerana menerima kunjungan kami ke pejabat beliau pagi ini.

“Semoga hubungan rapat dan positif antara kerajaan Negeri Terengganu dan Persekutuan dapat terus diperkukuhkan untuk kepentingan negara dan negeri serta rakyat seluruhnya,” ujarnya.

Abdul Hadi turut turun ke Langkawi menjelang pilihan raya umum ke 14 lalu bagi mengajak pengundi agar jangan mengundi Mahathir dalam pilihan raya itu.

8.0
OVERALL SCORE
: 8.0
Have no any user vote