Malaysia Dateline

Kunjungan ke New Zealand ketika pandemik: Santhara Kumar saman P Prabkaran

Timbalan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Santhara Kumar memfailkan saman terhadap Ahli Parlimen Batu, P Prabkaran yang didakwa mengeluarkan kata-kata fitnah berhubung lawatan ke New Zealand ketika pandemik Covid-19.

Santhara Kumar, 50, yang juga Ahli Parlimen Segamat memfailkan saman itu di Mahkamah Tinggi di sini menerusi Tetuan N. Krishnan Nair & Co pada 23 Jun lepas dan menamakan Prabkaran, 25, sebagai defendan tunggal, lapor Bernama.

Penyataan tuntutan plaintif mendakwa defendan mengadakan sidang media di luar pekarangan Kedutaan New Zealand antara jam 9.30 pagi hingga 2 petang pada 17 Mac lalu, dengan mengeluarkan maklumat tidak benar dan palsu mengenai tanggungjawab plaintif selaku Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan ketika itu.

Beliau mendakwa defendan atau wakilnya sudah menyerahkan memorandum kepada Kedutaan New Zealand yang mengkritik kelulusan serta kebenaran yang diberikan kepada plaintif untuk melawat New Zealand dan Prabakaran turut menghubungi pegawai kedutaan itu untuk mengetahui maklumat peribadi serta kebenaran plaintif memasuki negara tersebut.

Bekas Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan itu mendakwa kenyataan fitnah itu antaranya membawa maksud bahawa beliau menceroboh dan masuk ke New Zealand secara tidak sah tanpa mematuhi serta menghormati undang-undang negara itu dan pihak berkuasa hendaklah mengambil tindakan sewajarnya ke atas pencerobohan dan salah laku plaintif.

Santhara Kumar juga mendakwa Prabakaran menghadiri satu sidang media secara langsung pada 28 Mei lalu, memaklumkan kepada umum bahawa defendan menerima notis perundangan daripada peguam plaintif dan mengkritik serta mendakwa plaintif membuli, bersikap tidak adil serta menakutkan defendan sebagai seorang ahli politik muda.

Oleh itu, plaintif memohon perintah injunksi bagi menghalang defendan atau ejennya daripada mengeluarkan kenyataan secara lisan atau bertulis, atau menerbitkan semula kenyataan media berunsur fitnah terhadap plaintif.

Beliau juga menuntut ganti rugi am, teladan, teruk dan pampasan serta permohonan maaf defendan dan penarikan balik kenyataan itu yang perlu disiarkan di tiga akhbar harian berbahasa Malaysia, Inggeris dan Tamil serta memuat naik permohonan maaf di laman Facebook dan YouTube defendan.

Prabakaran, yang memfailkan pembelaan pada 8 September lalu, pula mendakwa kenyataannya langsung tidak mempunyai sebarang niat jahat untuk menjatuhkan imej atau reputasi plaintif dalam kalangan rakyat Malaysia dan luar negara.

Beliau juga mendakwa memorandum yang diserahkan hanya mengandungi persoalan dan memerlukan pihak berkuasa New Zealand atau kedutaan negara itu untuk menjawab tentang prosedur yang telah diikuti oleh plaintif untuk membenarkannya memasuki New Zealand sedangkan negara itu antara yang dikawal ketat oleh pihak imigresen daripada sebarang kemasukan orang luar sepanjang tempoh pandemik Covid-19.

Menurut Bernama lagi, kes tersebut ditetapkan untuk pengurusan kes pada 13 Oktober ini.