Kunjungan kerap Najib ke Sarawak ‘tumpang tui’ Adenan

Kunjungan kerap Najib ke Sarawak ‘tumpang tui’ Adenan

Kunjungan kerap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ke Sarawak dipercayai bertujuan untuk memastikan popularitinya tidak terlalu jauh di belakang Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem sekarang, kata penganalisis.

“Menjelang pilihan raya Sarawak, jelas kelihatan Adenan sangat popular. Jadi saya melihat Najib mahu menjadikan kemenangan Team Adenan Satem nanti adalah kemenangan BN dan juga untuk beliau,” kata penganalisis Hisommudin Bakar.

Sehingga kini, Najib sudah berkunjung ke Sarawak lebih 50 kali sejak menjawat jawatan Perdana Menteri dan beliau datang lagi semalam.

Kali ini Najib akan berada di negeri ini selama lima hari lagi menjelang hari pembuangan undi 7 Mei ini.

Kekerapan kunjungan ini sangat jauh berbeza berbanding dengan perdana menteri sebelum ini.

“Ini adalah jumlah kunjungi yang luar biasa sebagai seorang perdana menteri dan bagi saya ia satu kunjungan terdesak untuk mengekalkan fixed deposit Sarawak kepada Barisan Nasional (BN),” kata Hisommudin.

Pengerusi Eksekutif Ilham Centre, pusat kajian bebas itu berkata, populariti Adenan, Ketua Menteri Sarawak yang mengawal politik negeri itu jauh dari politik Umno yang sedang berkecamuk sekarang.

“Sarawak saya yakin kekal kawasan putih untuk BN tetapi adakah rakyat negeri ini juga akan memberikan jumlah kerusi yang signifikan kepada BN dalam pilihan raya umum akan datang. Ini bagi saya perlu dipastikan oleh Najib dalam kunjungannya yang banyak ini,” katanya kepada Malaysia Dateline.

Bagi Hisommudin, pilihan raya negeri kali ini juga boleh dilihat sebagai isyarat awal kepada Putrajaya sama ada rakyat menerima atau menolak BN.

Ini kerana merekalah juga yang akan mengundi di peringkat parlimen nanti, katanya.

Namun begitu, katanya, persoalan yang timbul adakah keputusan rakyat dalam pilihan raya negeri ini akan mewakili sentimen dan sikap sebenar mereka terhadap kepimpinan Najib.

“Ini kerana dalam tinjauan kami di lapangan, (kami) menemui sebaliknya. Kami dapati pengundi menyatakan secara jelas dan terang bahawa mereka akan undi atas populariti Adenan Satem kali ini tetapi bukan untuk Najib,” kata Hisomuddin.

Hisommudin memberikan contoh tindakan Adenan yang mencabar pembangkang agar memainkan isu tempatan di Sarawak bukannya membawa isu dari pusat khasnya GST dan 1MDB.

“Saya yakin Adenan tahu sentimen rakyat ini. Mereka boleh menerima beliau tetapi tidak polisi Najib,” katanya.

TAGS