Malaysia Dateline

Kunjungan ketua-ketua hakim syarie kepada Jamil Khir jadikan mereka ‘low class’

Tindakan lima ketua hakim syarie dari lima buah negeri mengadakan kunjungan hormat kepada Datuk Seri Jamil Khir Baharom dipertikaikan dan dikecam kerana ia boleh menjatuhkan maruah para hakim.

Tindakan ini juga antara penyebab mengapa hakim syarie tidak dihormati dari segi integritinya, kata seorang bekas pengajar undang-undang Universiti Islam Antarabangsa, Dr Mohamed Hadi.

“Saya tak pasti apa yang ada dalam fikiran ketua-ketua hakim syarie ini. Pertemuan ini berlangsung bulan lepas, baru lagi. Malah status asal pun masih ada di Facebook Umno Kedah.

“Mereka ialah ketua hakim syarie negeri. Saya tidak mengenali mereka secara peribadi, bukan ada keperluan pun.

“Tapi bagaimana ketua-ketua hakim syarie boleh mengadakan “kunjung hormat” ke pejabat “entah siapa-siapa pun. Ya, bukan pejabat menteri agama pun. Malah kalau pejabat menteri sekalipun, dari sudut etika sudah salah.

“Pernahkah anda lihat Ketua Hakim Negara atau hakim-hakim kanan terhegeh-hegeh membuat kunjung hormat ke pejabat Menteri Undang-Undang?” kata Mohamad Hadi menerusi facebook beliau.

Kritikan ini timbul ketika seorang lagi ketua hakim syarie berdepan dengan tuduhan dan disiasat oleh polis atas dakwaan berkelakuan tidak senonoh di rumah orang.

Ada sesetengah pihak mengaitkan dakwaan ini timbul selepas kunjungan hakim-hakim syarie ini ke pejabat Pengerusi Perhubungan Umno Kedah ini.

Terdahulu, lima ketua hakim syarie dari Kedah, Pahang, Terengganu, Johor dan Perak membuat kunjung hormat ke atas Jamil Khir dan disiarkan dalam facebook Badan Perhubungan Umno Kedah pada 15 Disember lalu, tiga minggu sebelum kes hakim syariah tidak senonoh ini timbul.

Bagi Mohamad Hadi, jawatan hakim yang mulia, duduknya di atas, dihormati martabatnya dan bukannya bersepah menjual muka di sana-sini.

Apatah lagi, katanya, ketua hakim syarie beramai-ramai membuat kunjung hormat ke pejabat penasihat agama Perdana Menteri.

“Eh, dia ni 10 tahun jadi menteri agama apa dia dah buat untuk perkasakan mahkamah Syariah? Apa jasa dia selain “Dato’ Sri Najib kirim salam”?

“Masa jadi menteri agama tak buat apa-apa, adakah bila jadi penasihat agama tiba-tiba ada kuasa macam The Avengers pulak?” tulis beliau.Bagi beliau, kKunjung hormat tertutup tak mengapalah.

“Kita pun tak nak tahu urusan mereka. Kalau tak share kat Facebook pun kita tak tahu berlaku pertemuan tersebut.”

“Tapi sudahlah dicanang kepada umum, kemudian bergambarlah ketua-ketua hakim sambil mengelilingi penasihat agama ibarat samseng penambang mengelilingi tauke sampan Ahmad Nisfu.

“Lagi bongok, hakim-hakim pergi berdiri, penasihat pulak yang duduk. Macam cerita Tiga Abdul pun ada.

“Kenapa ketua-ketua hakim syarie merendahkan maruah mereka sampai ke tapak kaki? Mana pergi adabul qadi yang mengaji sampai penuh hashiyah kitab dulu tu?” tanya beliau lagi.

Menurut beliau, tindakan sebeginilah antara punca institusi mahkamah syariah dipertikaikan.

“Dan kita konon tertanya-tanya kenapa institusi mahkamah Syariah selama ini dipandang lekeh. Sebenarnya, mereka sendirilah yang memperlekehkan kedudukan institusi mahkamah Syariah itu sendiri.

“Bak kata cikgu Shaari, “Low class!” kata Mohamad Hadi lagi.