Malaysia Dateline

Kuota haji: Berita baik untuk jemaah

Malaysia dijangka akan menerima berita baik berhubung rayuan Malaysia untuk menambah kuota haji tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, perkara tersebut akan diumum dalam masa terdekat selepas mendapat maklumat rasmi daripada kerajaan Arab Saudi.

“Alhamdulillah. Kita sudah berunding dan saya dengar-dengar hujung telinga tentang berita baik ini.

“Saya tidak akan mengecewakan jemaah Haji dan akan berbincang secara teknikal dengan Tabung Haji (TH),” beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Mekah Route Initiative, hari ini.

Jelasnya, biarpun isu kuota ini sering menjadi mainan politik beberapa pihak, namun akhirnya jemaah haji bakal menerima khabar gembira yang ditunggu-tunggu.

Sebelum ini, Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Muhammad Saleh bin Taher Benten berkata, pihaknya akan membuat kajian menyeluruh berhubung permohonan Malaysia untuk menambah kuota jemaah haji tahun ini.

Beliau berkata, sebelum ini, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) telah berbincang dan membuat keputusan dalam penentuan kuota haji setiap negara.

“Kuota setiap negara diagihkan mengikut apa yang dibincangkan. Kuota rasmi Malaysia juga telah diberikan, tetapi terdapat permohonan penambahan dan ia tentu sekali perlu dikaji terlebih dahulu,”katanya.

Dalam majlis sama, Mujahid turut mengulas tentang program Makkah Route yang menggunakan telonologi canggih melibatkan kerjasama antara Malaysia dan Arab Saudi.

“Melalui program ini, para jemaah hanya perlu melakukan pemeriksaan pasport di Imigresen Malaysia dan terus menuju ke laluan khas Imigresen Arab Saudi untuk melalui proses pra pelepasan menggunakan teknologi seperti imbasan wajah, dan pengesanan cap jari.

“Setibanya di Madinah, Jemaah akan terus menaiki bas ke hotel penginapan tanpa perlu berurusan lagi dengan Imigresen Arab Saudi kerana ia telah dilakukan di Malaysia,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menyifatkan kerjasama antara Arab Saudi dan Malaysia di bawah kerajaan baharu sebagai membina hubungan baik antara dua negara.