Malaysia Dateline

Kuota Haji: Hentikan sensasi analisis tidak tepat berbaur politik, kata TH

Lembaga Tabung Haji (TH) menyangkal kenyataan Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang menyatakan bahawa umat Islam kini telah hilang kuota tambahan haji.

Menurut TH, dakwaan pimpinan Umno itu, bukan sahaja memberi kekeliruan tetapi juga tidak benar sama sekali.

Dr Asyraf telah membuat kenyataan kemudian dilaporkan oleh Utusan Malaysia online pada 4 Mei 2019.

Dalam kenyataannya TH menegaskan kuota rasmi yang diberikan pihak Arab Saudi kepada Malaysia bagi tahun ini ialah sebanyak 30,200 orang.

Bagi memendekkan waktu menunggu bakal haji, TH telah membuat permohonan kuota tambahan sebanyak 10,000 jemaah pada musim haji tahun ini.

“Seperti kebiasaan, pemberian kuota tambahan ini adalah bergantung atas budi bicara kerajaan Arab Saudi.

“Sehingga kini, pihak TH masih menunggu keputusan rasmi mengenai permohonan yang telah dibuat,” ujar TH.

Berdasarkan rekod 10 tahun ke belakang ada empat tahun iaitu pada tahun 2013 hingga 2016 di mana permohonan kuota tambahan yang dibuat oleh TH tidak diluluskan.

TH menegaskan agar pihak-pihak dan individu berkaitan harus berhenti dari mensensasikan komen serta analisis tidak tepat yang berbaur politik kerana ia boleh mengelirukan rakyat.

Terdahulu, Asyraf Wajdi dilaporkan berkata umat Islam kehilangan kuota tambahan sebanyak 10,000 bagi menunaikan haji setiap tahun berikutan hubungan dingin antara kerajaan Pakatan Harapan (PH) dengan Arab Saudi.

Asyraf juga berkata, ketika kepimpinan Barisan Nasional, Arab Saudi tidak pernah gagal memberikan keistimewaan itu kepada Malaysia.