Malaysia Dateline

Kuota matrikulasi: PKPIM minta semua pihak rasional

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menggesa semua pihak bersikap rasional dan berlapang dada dalam menekuni polemik berkaitan kuota 90:10 penempatan pelajar di Pusat Matrikulasi.

Setiausaha Agungya Ahmad Fahmi Adzha Mohd Nasarudin, berkata, pengekalan agihan kuota 90% bumiputera dan 10% bukan bumiputera dilihat adil dan memenuhi keperluan semasa, bukan dibuat berdasarkan keistimewaan kepada mana-mana pihak.

“Ini selaras dengan objektif Program Matrikulasi KPM sendiri yang bertujuan memastikan pembangunan potensi pelajar bumiputera dapat dilakukan melalui pendidikan yang berkualiti untuk melayakkan mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah pertama di IPT di dalam dan di luar negara dalam bidang sains, teknologi dan profesional.

“PKPIM menyambut baik langkah KPM meningkatkan pengambilan pelajar daripada 25,000 kepada 40,000. Peningkatan ini dengan erti kata lain membuka lebih peluang kepada pelajar bukan bumiputera yang layak untuk memasuki program matrikulasi seluruh negara,” ujarnya.

Katanya lagi, PKPIM berpandangan tidak timbul isu diskriminasi dalam menanggapi perkara ini.

“Isu ini harus dilihat secara holistik berdasarkan pemilihan pelajar untuk memasuki Pusat Matrikulasi dibuat secara merit berdasarkan pencapaian akademik dalam peperiksaan SPM,” ujarnya.

Beliau turut menyeru menyeru semu pihak lebih cermat dan tidak melatah dalam mengeluarkan apa jua kenyataan dan jangan cuba mengaitkan isu matrikulasi dengan isu perkauman bagi mengelakkan sebarang salah faham dan kekeliruan timbul dalam masyarakat berbilang kaum dalam negara ini.

Justeru kata Ahmad Fahmi lagi, PKIM bersependapat dengan pandangan Pakar Ekonomi, Dr Muhammad Abdul Khalid dalam bukunya The Colour of Inequality. Pecahan etnik bagi universiti awam tempatan diwakili terdiri daripada 72,387 pelajar bumiputera & 175,426 Bukan Bumiputera. Bagi pengajian di luar negata, terdapat seramai 5,800 pelajar bumiputera dan 112,000 pelajar bukan bumiputera. Kadar kemasukan ke universiti awam pula adalah terdiri daripada sebanyak 62.6% Bumiputera, 32.2% Cina dan 5.2%. Ini mengesahkan bahawasanya komposisi pelajar bukan bumiputera di universiti awam mengatasi komposisi pelajar bumiputera.

PKPIM juga katanya, bersetuju wujudnya diskriminasi kepada Bumiputera dalam pekerjaan terutama dalam sektor swasta. Ini berdasarkan satu kajian akademik yang dijalankan Dr Hwon-Aun Lee dan Dr Muhammed Abdul Khalid pada 2015.

Pada Khamis Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik dalam ucapannya di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang berkata, kuota matrikulasi bukan bumiputera dan keperluan fasih berbahasa Mandarin untuk memohon pekerjaan tidak boleh dilihat secara terpisah.

Jelas Maszlee, adalah sesuatu yang tidak adil sekiranya kuota matrikulasi untuk bukan bumiputera dilonggarkan dan pada masa yang sama para majikan masih menetapkan syarat perlu fasih berbahasa Mandarin untuk mendapatkan pekerjaan yang secara tidak langsung menafikan hak kaum bumiputera.

Maszlee memberitahu, keadilan bukan hanya dilihat dalam aspek kuota kaum untuk kemasukan program matrikulasi sahaja, tetapi juga kelayakan dalam memohon pekerjaan.

Keadaan itu mengundang reaksi kurang senang pelbagai pihak termasuk Presiden Gerakan Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai, beberapa pemimpin DAP serta yang terbaharu MCA yang mengkritik dan mengecam kenyataan Maszlee tersebut.

Dalam pada itu, Dominic turut meminta Maszlee untuk menarik semula kenyataannya serta memohon maaf secara terbuka kepada rakyat Malaysia.