Malaysia Dateline

Kurang 24 jam polis dedah jumlah rampasan, Najib dakwa “orang” Mahathir ambil RM10 juta tunai daripadanya

Tampil dalam wawancara eksklusif bersama Malaysiakini di pejabat portal berita itu di Petaling Jaya semalam, Datuk Seri Najib Razak berulang kali menyebut tentang Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Suami kepada Datin Seri Rosmah Mansor itu mendakwa salah seorang “orang” Mahathir pernah mengambil sejumlah RM10 juta wang tunai daripadanya menjelang Pilihan Raya Umum ke-13.

Individu yang digambarkannya sebagai “pembantu” yang sangat dipercayai Mahathir itu, ujarnya, mengambil wang tersebut di kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta di ibu negara.

Najib, 65, dalam wawancara kurang 24 jam selepas polis mendedahkan jumlah keseluruhan rampasan barangan mewah dari hartanahnya itu turut mendedahkan nama individu berkenaan yang merupakan bekas perenang negara.

Walau bagaimanapun, Malaysiakini tidak melaporkannya sehingga bekas atlet terbabit dapat dihubungi selain turut menghubungi pembantu Mahathir untuk mendapatkan maklum balas.

Najib yang pernah menjadi Menteri Besar Pahang pada 1982 itu berkata, sebagai ketua kerajaan, pemimpin antarabangsa serta rakan-rakan peribadi menghadiahkan pelbagai barangan.

“Saya tahu ia tidak menyalahi undang-undang untuk menerima hadiah. Sebagai contoh, Tun Dr Mahathir mengaku beliau menerima 40 ekor kuda daripada rakannya dan beliau juga secara terbuka menggunakan banyak jet korporat kawannya.

“Jadi ia tidak menyalahi undang-undang untuk menerima hadiah,” kata anak lelaki sulung kepada bekas Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak berkenaan.

Bekas Presiden Umno yang dikaitkan dengan siasatan skandal mega 1Malaysia Development Berhad (1MDB) itu berkata, tidak menjadi kesalahan bagi seseorang yang mempunyai kedudukan menerima hadiah yang mahal.

“Jika hadiah diberikan kepada anda oleh ketua-ketua negara lain, seperti pada hari ulang tahun kelahiran anda dan mereka tidak mengharapkan apa-apa balasan, ia tidak menyalahi undang-undang.

Antara ratusan kotak yang dirampas polis dari kondominium mewah di ibu negara menjelang Ramadan lalu.

“Mahathir juga, dengan rekod, telah memberitahu beliau menerima 40 ekor kuda daripada rakannya. Saya yakin, ada hadiah lain yang beliau terima sepanjang kariernya,” ulangnya lagi.

Dalam wawancara itu juga, Najib mendedahkan tentang penyerahan sejumlah besar dana oleh Mahathir kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi.

“Menguruskan sebuah parti yang besar dengan tiga juta ahli seperti Umno merupakan urusan yang mahal. Dan, untuk rekod, ketika Mahathir meletakkan jawatan, beliau menyerahkan RM1.4 bilion kepada Abdullah Badawi dalam bentuk aset dan wang tunai.

“Itu tercatat. Jadi, dalam konteks itu, ia (wang yang dijumpai itu) adalah sebahagian kecil daripada jumlah berkenaan,” katanya.

Ketika Malaysiakini mengajukan soalan bahawa Mahathir tidak menyerahkan wang RM1.4 bilion itu dalam bentuk tunai, Najib dipetik berkata:

“Ya, ada wang tunai, tetapi ketika waktu pilihan raya, anda tidak melakukan transaksi melalui sistem perbankan kerana wang itu diperlukan segera oleh parti,” ujar bekas Ahli Parlimen Pekan itu lagi.