Kurang bilangan prof punca Kuin gagal jadi universiti penuh

Kurang bilangan prof punca Kuin gagal jadi universiti penuh

Kekurangan jumlah tenaga pengajar profesor dan profesor madya merupakan sebab utama Kolej Universiti Insaniah (KUIN) Kuala Ketil milik penuh kerajaan negeri belum boleh dinaiktaraf sebagai universiti penuh.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Datuk Tajul Urus Md Zain berkata bagi membolehkan KUIN dinaiktaraf menjadi universiti penuh, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menetapkan bahawa bilangan tenaga pengajar profesor harus melebihi 10 peratus manakala profesor madya pula 20 peratus.

“Pegawai KUIN akan menjelaskan strategi dan perancangan sumber manusia bagi memenuhi keperluan tersebut dalam tempoh terdekat sebelum membentangkannya kepada KPT,” katanya dalam sidang media di sini, semalam.

Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang bersedia untuk memberikan kelulusan menaik taraf KUIN sebagai sebuah universiti sekiranya kesemua syarat yang ditetapkan dipenuhi.

Beliau berkata, kerajaan negeri telah mengambil beberapa inisiatif bagi meningkatkan penilaian markah KUIN setelah permohonan kali pertama untuk menaiktaraf kolej itu tidak diluluskan pada Dis 2015, antaranya menambah modal berbayar daripada RM250,000 kepada RM200 juta.

“Penyata kewangan KUIN juga telah mencatat keuntungan tiga tahun berturut-turut iaitu dari 2014 hingga 2016, manakala nisbah ekuiti kepada dana peminjam telah melebihi nisbah 2:1,” katanya.

Dalam pada itu, Tajul Urus berkata, KUIN akan membuat pengambilan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk mengikuti kursus Asasi secara percuma di pusat pengajian tersebut bermula April depan.

Tiga program yang ditawarkan ialah Program Asasi Pengajian Islam, Program Asasi Pengurusan dan Program Asasi Sains dan tempoh pengajian ialah selama 12 bulan.

Ia melibatkan peruntukan RM2.947 juta setahun dan buat permulaan kerajaan menyasarkan 530 pelajar bagi mengikuti tiga program tersebut.

“Sebaik tamat pengajian, mereka akan mendapat sijil sebelum secara automatik dapat menhyambung pengajian ke peringkat diploma di KUIN,” katanya.

TAGS