Kurang tawaran berlakon lepas menang anugerah utama, Bell Ngasri tetap luah rasa syukur

Oleh MAISARAH AISYA

Kebiasaannya mereka yang memenangi anugerah utama pastinya akan berada dalam radar para pengarah.

Namun berlainan pula buat pelakon Bell Ngasri yang mengejutkan ramai selepas dinobatkan Anugerah Bintang Paling Popular ke-35 (ABP35).

Bell mengakui tawaran berlakon diterimanya berkurang selepas memenangi ABP35 tapi tidak mengeluh sebaliknya dia percaya rezekinya masih ada dalam industri seni lapor Kosmo! Online.

“Memang agak kurang tawaran lakonan tapi tidaklah terlalu beza sangat. Sejujurnya memang ada perasaan risau orang takut panggil saya selepas menang.

“Tapi alhamdulillah saya masih bekerja untuk beberapa program. Mungkin hanya tawaran berlakon yang agak kurang.

“Mungkin juga tidak banyak jenis cerita yang pengarah nak buat atau sebagainya. Saya pun tak tahu (punca) tapi serahkan semua pada rezeki,” katanya seperti dipetik Kosmo! Online.

Meskipun kurang tawaran berlakon, Bell memaklumkan dia masih menerima tawaran sebagai pengacara dan kerja belakang tabir.

“Tapi semua kena faham, saya ada banyak juga kerja-kerja lain, bukan berlakon semata-mata. Alhamdulillah saya okey sahaja. Nak panggil silakan, kalau tak nak sudah.

“Saya tidaklah kecewa, sikit-sikit pun saya bersyukur sebab masa menang pun, bukannya hero yang berlambak dengan dengan drama atau filem.

“Namun, saya tidak mahu ada rasa kekurangan atau sebagainya dan tetap bersyukur. Terima kasih juga kepada mereka yang terus menghargai hasil kerja saya,” kongsinya.

Baca juga: “Dari awal kes kantoi aku dah lempang kau”, Aslam pernah kena tampar dengan suami Abby Abadi?