Malaysia Dateline

Kurang yang lain lagi banyak, sindir Hanipa kepada Tuan Ibrahim

Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional, Mohamed Hanipa Maidin menyindir kenyataan Menteri Alam Sekitar, Tuan Ibrahim Tuan Man yang menyatakan fasa pertama PKP bukan sahaja dapat memutuskan rantaian Covid-19, malah dapat mengurangkan pencemaran alam sekitar.

Mantan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, PKP bukan setakat mengurangkan pencemaran, bahkan memperlihatkan sedikit demi sedikit keperluan rakyat juga cuba dikurangkan.

Hanipa berkata, antara yang berkurangan termasuklah wang untuk membeli makanan dan saluran bantuan yang cuba disekat kerajaan hari ini.

“Kurang makanan di rumah sebab kurang duit nak beli makanan. Saluran nak beri bantuan juga cuba dikurangkan.

“Kurang kerja sebab banyak industri kurang (hasil) perniagaan khususnya industri perhotelan dan penerbangan.

“Orang bawa Grab pun kurang customer selain kurang asap kereta Grab. Duit masyuk juga kurang,” katanya dalam muatnaik status di Facebook rasminya hari ini.

Pada masa sama, Ahli Parlimen Sepang itu turut mendakwa, Malaysia juga semakin kurang dihormati negara luar oleh kerana sikap pengurusan kerajaan pintu belakang yang kelam kabut.

“Negara ini (pun), orang luar makin kurang hormat sebab kerajaan pintu belakang bukan sahaja kelam kabut uruskan masalah dan krisis, malahan jelas nampak kurang kebijaksanaan dan kurang cerdik.

“Ibadat di masjid (juga) kurang (dan) ke arah pupus buat masa ini,” tulisnya.

Namun katanya, apa yang bertambah hanyalah panik di kalangan rakyat Malaysia dengan jumlah kematian yang semakin meningkat.

Malah, Hanipa secara sinis memberi pujian kepada kerajaan yang berjaya menambahkan hiburan untuk orang ramai dengan panduan dan idea-idea ‘pelik’ dalam keadaan genting menangani pandemik yang berlaku.

“Tapi ada juga yang bertambah. Tambah panik hari-hari bila dengar ramai yang mati dan positif virus Covid-19 .

“Tambah tekanan, tapi tambah juga hiburan dan troll bila para menteri beri idea-idea pelik dan menarik di saat orang cemas dengan pandemik.

“Setakat ini, juara idea menarik (adalah) idea tiru suara Doraemon, diikuti memburu virus di pusat kumbahan dan minum air suam,” sindirnya.