Malaysia Dateline

Kurangkan beban rakyat B40, kerajaan perlu serius tangani kenaikan mendadak harga barang

Tekanan kos sara hidup semakin meninggi di Malaysia dan impaknya lebih teruk dalam kalangan rakyat B40.

Data Jabatan Perangkaan menunjukkan isi rumah berpendapatan bawah RM3,000 mengalami kenaikan harga telur sebanyak 13.4%, harga daging lembu (4.5%), harga sayur-sayuran (4.3%) dan harga makanan laut (3.7%), hanya dalam bulan Februari 2022.

Di samping itu, jika masalah ini berterusan, ia juga akan memberi kesan kepada golongan M40 yang semakin ramai menjunam ke dalam kumpulan B40. Untuk rekod, setakat Ogos 2021, seramai 600,000 isi rumah M40 telah jatuh ke kumpulan B40.

Terbaru, kita dapati harga makanan di bazar Ramadan juga naik mendadak. Dalam keadaan negara masih bergelut dengan pengangguran yang tinggi (hampir 700,000 orang) dan kenaikan gaji yang rendah, tekanan kos sara hidup sebegini memaksa rakyat Malaysia merendahkan taraf hidup mereka.

Paling dikhuatiri anak-anak daripada keluarga berpendapatan rendah akan terpaksa berlapar dan ramai rakyat Malaysia akan mengalami kekurangan simpanan akibat kenaikan kos sara hidup ini.

Tatkala rakyat dihimpit oleh pelbagai masalah, kerajaan Umno-Pas-Bersatu tidak ada strategi yang tuntas untuk menangani isu ini. Yang kita lihat hanyalah kawalan harga siling yang tidak efektif dan kelemahan pengawasan pihak berwajib.

Lagipun, tindakan-tindakan klise ini hanyalah solusi jangka pendek. Kerajaan bagaikan tidak ada hala tuju jangka panjang dalam menangani keadaan inflasi Malaysia.

Malaysia memerlukan reformasi struktur untuk menyelesaikan isu-isu berkaitan kos sara hidup.

Kawalan harga secara berterusan pula hanya akan mewujudkan masalah lain seperti gangguan terhadap rantaian bekalan yang akan membantutkan bekalan makanan kepada rakyat seperti yang berlaku baru-baru ini.

Maka, Malaysia memerlukan reformasi struktur atau “structural reforms” untuk menyelesaikan isu-isu berkaitan kos sara hidup. Peningkatan gaji secara berkala dan kawalan kos input pengeluaran adalah penyelesaian yang lebih mapan, berbanding pengenalan harga siling.

Selain itu, kerajaan harus meluaskan sumber import untuk makanan asas seperti padi, ikan dan sayur-sayuran dan tidak lagi terikat dengan amalan “approved permit” atau AP.

Pada masa yang sama, kerajaan harus menggandakan usaha menggalakkan pengeluaran makanan tempatan. Misalnya, tanah-tanah terbiar di seluruh negara boleh diusahakan untuk penanaman makanan asas.

Tetapi, usaha ini harus disertakan dengan inisiatif memastikan pengambilan lebih banyak pekerja untuk sektor pertanian dan meningkatkan gaji rakyat Malaysia dalam sektor pertanian menerusi insentif upah khas.

Faiz ketika meyantuni peniaga dan pengunjung di Pasar Awam Penanti, DUN Permatang Pasir.

Kerajaan juga harus menggalakkan pelaburan berkualiti dalam industri agro-makanan. Pelaburan baharu dalam industri ini harus berteraskan teknologi dan konsep pertanian pintar. Anak-anak muda dan “start-up” perlu diberi insentif kewangan dan bukan kewangan untuk merancakkan pengeluaran pertanian.

Program satu zon hijau bagi setiap daerah mesti digerakkan dan anak-anak muda serta “start-up” boleh menjadi peneraju program ini. Menerusi program ini, tanah-tanah terbiar di sesebuah daerah boleh dijadikan kawasan bercucuk tanam untuk masyarakat tempatan.

Program ini bukan saja dapat menjamin bekalan barang pertanian dan makanan yang cukup di setiap kawasan sekaligus mengurangkan harga, tetapi ia juga mencipta peluang pekerjaan kepada belia.

Sepatutnya, kerajaan telah mempunyai pelan hala tuju berkaitan kos sara hidup yang terperinci sebelum melonggarkan kawalan pergerakan tahun lepas.

Kelewatan menangani isu ini sebelum permintaan tempatan meningkat telah mendorong kenaikan harga barang. Kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) digesa untuk tidak terus melengahkan usaha menangani kos sara hidup sebelum lebih ramai rakyat Malaysia terseksa.

Baca juga: https://malaysiadateline.com/mp-amanah-gesa-kerajaan-kawal-harga-barang-sepanjang-ramadan-syawal/

Baca juga: https://themalaysialife.com/peniaga-buang-kopi-pelanggan-hanya-kerana-dibayar-menggunakan-syiling-5-sen/